KUCHING: Seramai 6, 987 guru di negeri ini ‘didesak’ mengajar subjek matematik dan sains.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata, ini disebabkan kurangnya guru terlatih dan boleh mengajar kedua-dua subjek berkenaan.
“Guru yang ‘didesak’ mengajar subjek matematik seramai 2, 995 manakala untuk sains (3, 992 guru).
“Mereka tidak dilatih dalam mata pelajaran berkenaan tetapi ‘terdesak’ mengajar oleh kerana kita kekurangan guru dalam subjek tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Buku Model STEM IR4.0 Peringkat Menengah di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, IPG Kampus Batu Lintang, di sini semalam.
Tambahnya, sekiranya guru-guru ini tidak mempunyai tahap kesediaan untuk mengajar subjek tersebut, mereka mungkin tidak berupaya melaksanakan tugas mendidik dengan baik.
“Oleh itu, kita akan melatih kira-kira 3, 000 guru selama enam bulan dalam usaha meningkatkan prestasi pelajar di semua sekolah rendah khasnya di luar bandar,” ujarnya.
Kata Manyin, latihan ini akan dilaksanakan pada bulan hadapan dengan kerjasama Insitut Perguruan di negeri ini.
Oleh Nur Ain Otsman