LAWAS: Masyarakat di kawasan Merapok di sini diseru memanfaatkan setiap ruang tanah mereka untuk diusahakan dengan aktiviti pertanian.
Sektor pertanian yang berasaskan teknologi moden mampu menghasilkan produk pertanian yang berkualiti dan mengeluarkan hasil sepanjang tahun, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Pertanian mampu membantu meningkatkan ekonomi keluarga dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak, katanya semasa merasmikan Community Extension Outreach Programme (CEOP) anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Limbang di Dewan Masyarakat Kampung Bangkatan Merapok di sini semalam.
“Banyak agensi dapat membantu penduduk untuk mengadaptasi teknologi bagi meningkatkan hasil pertanian.
“Pada masa sama, tempoh pengeluaran hasil pertanian juga dapat dipendekkan dan peserta mesti meningkatkan kemahiran serta tidak melepaskan peluang yang disediakan kerajaan,” tambahnya.
Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, turut menggesa Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan membantu petani, penternak mahupun nelayan memilih bidang pertanian dan seumpamanya yang boleh dipasarkan.
Ini disebabkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) bakal siap tahun depan untuk memudahkan petani tempatan memasarkan produk pertanian mereka, katanya.
Selain itu, Awang Tengah yang juga ADUN Bukit Sari merangkap Pengerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) memberitahu, NRDA juga menyediakan peruntukan khusus pembangunan sektor pertanian, ternakan dan perikanan.
Melalui NRDA, sejumlah RM25.4 juta diperuntukkan bagi tujuan menaik taraf Stesyen Ternakan Kerbau Meragang, Lembah Bio di Long Semadoh, pembinaan pembentung untuk pertanian, naik taraf stesyen perikanan Punang, pembinaan rumah menyalai tahai di Punang dan Awat-awat, menaik taraf stesyen Sanba (rusa) di Long Sebangan dan naik taraf jalan pertanian.
Seramai 150 peserta menyertai CEOP dan kursus Pertanian berkenaan.
Sementara itu Pegawai Pertanian Bahagian Limbang, Japaruddin memberitahu sejumlah RM8.2 juta diperuntukkan untuk program pertanian di Bahagian Limbang dan semasa PKP lalu menyaksikan Jabatan Pertanian Bahagian Limbang melalui Pertubuhan Peladang Kawasan Lawas membeli RM47,000 hasil tani untuk diagihkan kepada penerima bantuan makanan sepanjang PKP pertama dan kedua.
Oleh Adeng Edrus