SERIAN: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin akan memenangi kerusi di kawasan Parlimen Serian pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kali ini..
Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, untuk di kawasan Serian, GPS akan bertembung dengan tiga lawan iaitu calon dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Elsiy Tinggang , Parti Tindakan Demokratik (DAP), Learry Jabol dan Bebas iaitu Alim Impira.
“Kami yakin GPS akan menang kerusi di kawasan Serian dan biarlah rakyat di kawasan ini yang menentukan.
“ Ini lebih-lebih lagi saya dibantu oleh Ahli Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Bukit Semuja dan Kedup.
“Jadi saya yakin melalui tiga ADUN di belakang saya, kami yakin dapat memenangi kerusi di Parlimen ini.
“Malah, banyak perkara yang saya ingin bangunkan untuk kawasan Serian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita ketika penamaan calon kawasan Serian bertempat di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, kelmarin.
Malah, beliau akan memfokuskan kepada talian internet jika mendapat mandat daripada rakyat nanti.
“Selain itu, saya juga berharap agar lebih banyak sekolah dibina baharu terutamanya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serian No. 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Sadong serta mengembangkan laluan satu lorong Serian-Tebedu kepada empat lorong,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu kepada status antarabangsa, beliau menjelaskan ia adalah penting untuk menghubungkannya dengan Kalimantan.
“Pusat ICQS Tebedu adalah satu-satunya pintu masuk antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia melalui darat iaitu Tebedu.
“Saya mahu yang sekarang bukan sahaja dinaik taraf, tetapi mahukan kompleks yang baharu,” katanya.
“Mengenai keselamatan di sempadan itu, kita tidak seharusnya mengharapkan agensi-agensi penguatkuasaan semata-mata malah penduduk berhampiran perlu memainkan peranan yang penting.
“Hal ini kerana, kita tidak mengharapkan polis semata-mata,” katanya.