RYNNA SHA’ERRA
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak gentar berdepan calon ‘heavyweight’ daripada gabungan parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.
Setiausaha Agung GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata ini kerana GPS sentiasa mengetahui kehendak rakyat.
“Kita sedang membuat persiapan yang sama dan akan melakukan yang terbaik dalam setiap pilihan raya, tidak kira sama ada menghadapi ‘heavyweight’ atau tidak kerana kita sentiasa memberikan yang terbaik.
“Sebagai sebahagian daripada budaya GPS dalam setiap pilihan raya, kita akan meletakkan golongan muda sebagai antara muka baharu serta mengekalkan mereka yang mempunyai pengalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Penyerahan Watikah Calon GPS di Ibu Pejabat PBB, Petra Jaya, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai peluang kemenangan GPS berdepan penyandang kerusi Parlimen Saratok Datuk Ali Biju yang dianggap calon ‘heavyweight’.
Ali Biju yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah antara empat calon dalam gabungan Pakatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bertanding di negeri ini.
Daripada empat calon terbabit, dua adalah penyandang iaitu Ali Biju dan Jugah Muyang (Lubok Antu) yang juga dianggap ‘heavyweight’.
Seorang lagi calon Bersatu yang mewakili PN ialah Duke Janteng yang akan bertanding di Parlimen Bintulu, manakala calon PAS yang akan bertanding di Parlimen Batang Lupar, belum diumumkan.
GPS mempertaruhkan muka baharu, Giendam Jonathan Tait untuk kerusi Parlimen Saratok.
Nanta berkata, calon GPS mampu berdepan calon pembangkang itu kerana pemilihan mereka diteliti dengan baik.
“Sebab itu GPS tidak tergesa-gesa untuk mengumumkan 31 calon kerana terdapat prosedur dan proses tertentu yang perlu dipatuhi,” katanya.
Mengenai peluangnya mempertahankan kerusi Kapit, beliau yakin untuk menang.
“Saya tidak hanya ‘turun padang’ di Kapit dalam sehari dua, malah saya mempunyai mekanisme dalam memastikan kebajikan rakyat di kawasan terjaga,” katanya.