KUCHING: Sarawak terus komited untuk memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan dapat memberi manfaat kepada rakyat.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memastikan tiada seorang pun rakyat Sarawak yang tersisih dalam mengecapi nikmat pembangunan.
“GPS telah meletakkan asas pembangunan yang strategik untuk memastikan kemajuan berterusan Sarawak.
“Usaha membangunkan Sarawak hanya akan dapat direalisasikan sekiranya GPS terus diberi mandat untuk menerajui kepimpinan Sarawak melalui Pilihan Raya Negeri Ke-12 ini,” tegasnya.
Abang Johari berkata, masa hadapan Sarawak terletak di tangan orang Sarawak.
Katanya, kerajaan membangunkan Sarawak dengan acuan sendiri dan hanya orang Sarawak yang dapat memastikan kemakmuran dinikmati oleh orang Sarawak.
“Sebagai rakyat Sarawak, adalah menjadi kewajipan kita untuk memilih kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran pada masa kini dan akan datang.
“Ini adalah untuk memastikan kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan Sarawak yang kita sayangi.
“Janganlah kita menggadaikan masa depan kita dengan memilih parti yang gagal memenuhi kehendak rakyat Sarawak dan tidak mampu menunaikan janji-janji yang dibuat, malah menipu rakyat Sarawak. Apatah lagi memilih parti yang bersekongkol dengan mereka yang pernah gagal memimpin negara,” ujarnya.
Katanya lagi, GPS yang berpengalaman, berwibawa, mempunyai integriti yang tinggi dan rekod pencapaian yang cemerlang akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.
“GPS perlukan sokongan padu rakyat Sarawak. Sokong dan undilah GPS untuk Sarawak yang Stabil, Makmur dan Gemilang, demi menjadikan Sarawak Maju Menjelang 2030,” ujarnya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO