MUKAH: Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah gabungan politik terkuat di negara ini sekarang, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS itu berkata, ini kerana ketika ini tiada perpecahan berlaku di dalam GPS sekali gus mengharapkan ia terus kukuh.
“Sekarang, GPS adalah (gabungan) parti politik yang terkuat di negara kita, dan kita harus mempertahankannya agar terus kukuh seperti yang kita harapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Sarawakku Sayang Mukah di Kampung Tellian Tengah di sini, hari ini.
GPS membabitkan empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata, dengan kekuatan GPS itu, menjadikan masa depan Sarawak cerah.
Beliau berkata GPS akan bekerjasama dengan parti yang boleh bekerjasama dengannya bagi memajukan negara ini.
“Kita berkehendakkan Malaysia menjadi negara kuat dan ini juga untuk kemajuan negeri Sarawak,” katanya.
Sementara itu, beliau mahu penduduk Mukah menyokong penyandang kerusi Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib yang dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi itu.
“MP (Ahli Parlimen) anda masih muda, sebab itu kami sambungkanlah Hanifah ini jadi wakil rakyat kamu,” katanya.
Beliau berkata, Hanifah juga sebelum ini terbabit memperjuangkan intipati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyaksikan penyerahan tiga projek naik taraf dari Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada kontraktor dan melawat tapak pameran.