

KABONG: Seramai 250 penduduk yang terdiri daripada golongan asnaf di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong telah menerima sumbangan bakul makanan, hari ini.
Sumbangan bakul makanan tersebut adalah diadakan bersempena Program Ziarah Kasih Mahabbah Ramadan Pergerakan Pemuda dan Wanita serta Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir memberitahu, sumbangan bakul makanan semasa Ramadan adalah salah satu amalan yang sangat dihargai dalam masyarakat, khususnya dalam kalangan mereka yang memerlukan.
“Pada kali ini, kita turut membuat majlis simbolik, dalam masa sama kita juga turun padang bersama Pergerakan Pemuda, Wanita serta Belia PBB Kabong menyampaikan sumbangan dari rumah ke rumah penduduk yang terdiri daripada golongan asnaf.
“Dengan cara ini, kita akan dapat menyelami masalah serta luahan hati rakyat bagi penduduk mengajukan apa-apa perkara yang menjadi kesulitan kepada mereka terus kepada wakil rakyat,” katanya.
Sumbangan tersebut juga dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk menjalani ibadah puasa dengan lebih selesa.
“Sumbangan seperti ini bukan sahaja bermakna untuk mereka yang menerima. Kita juga dapat memberi mesej khususnya kepada masyarakat di sekitar kawasan DUN Kabong tentang usaha (membantu masyarakat) dan keikhlasan adalah lebih penting dan bermakna,” jelasnya.
Bakul makanan yang diberikan tahun ini berisi barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, susu tin, teh, kopi, biskut, mi segera, kordial dan kurma.
Turut hadir, Datin Meryani Yassin, Naib Ketua Cawangan PBB Kabong, Maini Spawi, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Kabong, Abdul Rahim Peli, Ketua Pergerakan Wanita PBB Kabong, Nurain Abdullah, Ketua Pergerakan Belia Kabong, Mohammad Firdaus Shamsuddin dan yang lain.
OLEH ADI SAFARMAN