NOTTINGHAM, United Kingdom: Gol lewat Noni Madueke memastikan Arsenal menewaskan Nottingham Forest 1-0 pada awal pagi tadi, sekali gus membolehkan juara bertahan itu merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, meskipun mempamerkan aksi kurang meyakinkan.
Skuad kendalian Mikel Arteta gagal menampilkan prestasi terbaik di Stadium City Ground dan tidak mencatat sebarang percubaan tepat sehingga Madueke meledak gol kemenangan ketika permainan berbaki 10 minit.
Walaupun persembahan The Gunners di East Midlands jauh daripada memuaskan, keputusan itu tetap memberikan kelegaan apabila Arsenal kini hanya dipisahkan tiga mata daripada City yang menewaskan Ipswich 3-2 pada malam tadi (waktu Malaysia).
Selepas mengalami kekalahan mengejut 0-3 kepada Brighton pada 19 September lalu, Arsenal yang menghuni tangga kedua liga berjaya bangkit dengan mencatat tiga kemenangan berturut-turut.
Mereka menewaskan Leeds United dalam saingan EPL dan Lille dalam Liga Juara-Juara sebelum meraih kemenangan tipis ke atas Forest di tebing Sungai Trent.
Kelab dari utara London itu masih belum berjaya mengulangi tahap konsistensi luar biasa yang membawa mereka menjulang kejuaraan liga pertama dalam tempoh 22 tahun pada musim lalu.
Bagaimanapun, Arsenal masih memiliki keupayaan penting untuk meraih kemenangan dalam perlawanan sukar, dengan kejayaan ke atas Forest merupakan kemenangan keenam mereka daripada tujuh perlawanan liga musim ini.

Arsenal dijadual bertandang ke Bayern Munich bagi aksi Liga Juara-Juara pada Rabu sebelum menerima kunjungan Everton dalam saingan liga hujung minggu depan.
Sementara itu, Forest yang berada di tangga ketiga tercorot hanya mencatat dua kemenangan di laman sendiri dalam 17 perlawanan liga terakhir.
Pengendalinya, Oliver Glasner, pula sekadar meraih satu kemenangan daripada tujuh perlawanan liga sejak mengambil alih pasukan pada penghujung musim lalu.
Arsenal tunggu hingga minit akhir
Pada awal perlawanan, hantaran lintang Bukayo Saka memaksa penjaga gol Forest, Matz Sels, menepis bola dari bawah palang gol, namun Arsenal bergelut untuk mendapatkan rentak permainan dalam aksi yang kurang tersusun.
Pemain Forest, Dan Ndoye, turut menguji penjaga gol Arsenal, David Raya, selepas bergerak masuk ke kawasan tiang jauh.
Dalam salah satu daripada beberapa ancaman Arsenal, Kai Havertz melepaskan rembatan dari sudut sukar yang hanya mengenai jaring sisi selepas hantaran Martin Odegaard berjaya membuka ruang dalam benteng pertahanan Forest.
Arteta semakin jelas menunjukkan rasa kecewa di tepi padang ketika separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang perkembangan memberangsangkan daripada pasukannya.
Eberechi Eze menjadi pemain yang terpaksa dikeluarkan susulan persembahan hambar Arsenal apabila penyerang England itu digantikan Madueke pada waktu rehat.
Bagaimanapun, pertukaran tersebut tidak memberikan perubahan serta-merta kepada permainan Arsenal, sebaliknya penyerang Forest, Liam Delap, hampir membuka jaringan menerusi rembatan yang sedikit tersasar selepas melakukan larian deras.

Arsenal dilihat terlalu perlahan ketika menguasai bola dan gagal menghasilkan gerakan serangan yang berkesan, menyebabkan Arteta memasukkan Mikel Merino, Viktor Gyokeres dan Jurrien Timber bagi meningkatkan intensiti permainan.
Pemain tengah Brazil, Bruno Guimaraes, antara yang dikeluarkan selepas sekali lagi mempamerkan aksi kurang memberangsangkan dalam penampilan keduanya sebagai pemain kesebelasan utama liga sejak menyertai Arsenal dari Newcastle pada musim panas lalu.
Gabriel Magalhaes kemudian menanduk bola melepasi palang hasil sepakan penjuru Declan Rice, manakala Delap gagal melakukan penyudah tepat untuk menewaskan Raya selepas menerima hantaran Xaver Schlager.
Odegaard selepas itu melakukan hantaran kepada Timber yang membuat larian ke hadapan sebelum pemain pertahanan tersebut mengumpan bola kepada Rice di dalam kawasan penalti Forest.
Bagaimanapun, rembatan Rice melambung tinggi, sekali gus menggambarkan ketumpulan jentera serangan pasukan pelawat.
Ia merupakan kali pertama sejak 2023 Arsenal gagal mencatat sebarang percubaan tepat dalam tempoh 70 minit pertama perlawanan EPL.
Namun, kebuntuan akhirnya berjaya dipecahkan pada minit ke-80 apabila Madueke melakukan gerakan dari sayap kiri ke bahagian tengah sebelum melepaskan rembatan kencang.
Percubaan itu terkena pemain Forest, Jair Cunha, lalu berubah arah dengan ketara sebelum menerjah gawang tanpa mampu diselamatkan Sels.
Forest hampir menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan menerusi Murillo, namun rembatan deras pemain pertahanan itu sedikit melepasi palang gol.
Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat, membolehkan Arsenal membawa pulang tiga mata penting dalam usaha terus mencabar Manchester City di puncak liga.— AFP



