Glasgow 2026: Abdul Latif sempurnakan misi lima emas Malaysia

Facebook
WhatsApp
JAGUH lompat jauh para negara Datuk Abdul Latif Romly bersama pingat emas yang dimenanginya pada acara lompat jauh lelaki kategori T20 di temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Stadium Scotstoun hari ini. Foto BERNAMA

GLASGOW: Kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran lima pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan bergaya selepas jaguh olahraga para Datuk Abdul Latif Romly menjuarai acara lompat jauh T20 lelaki hari ini.

Kejayaan itu sekali gus melengkapkan sasaran lima emas yang ditetapkan kontinjen negara, selepas atlet angkat berat Muhammad Hafizuddin Roslin terlebih dahulu menyumbang emas keempat buat Malaysia.

Kem boling padang pula mula membutirkan pingat apabila menyumbang dua perak menerusi Izzat Shameer Dzulkeple dalam acara singles lelaki dan pairs wanita dimenangi Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman.

Abdul Latif yang juga juara Paralimpik dua kali melakukan lompatan sejauh 7.17 meter (m) pada percubaan ketiga, dengan catatan itu kekal tidak dicabar peserta lain.

AKSI jaguh lompat jauh para negara Datuk Abdul Latif Romly pada acara lompat jauh lelaki kategori T20 di temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Stadium Scotstoun hari ini. Foto BERNAMA

Lebih manis, seorang lagi wakil negara Eljoe Gotuoh turut menaiki podium selepas meraih gangsa dengan lompatan 6.51m dan wakil Kanada Noah Vucsics membawa pulang perak menerusi catatan 6.66m.

Kemenangan Abdul Latif juga mencipta sejarah tersendiri apabila acara lompat jauh T20 lelaki dipertandingkan buat kali pertama pada temasya kali ini.

Terdahulu, Muhammad Hafizuddin memastikan dominasi skuad angkat berat negara berterusan apabila muncul juara kategori 88 kilogram (kg) lelaki pada penampilan pertamanya di Sukan Komanwel.

Atlet berusia 22 tahun itu melakukan angkatan keseluruhan 345kg, merangkumi 162kg dalam snatch dan 183kg clean and jerk, dengan kedua-dua catatan berkenaan turut mencipta rekod baharu temasya.

Emas Muhammad Hafizuddin menyaksikan skuad angkat berat menyumbang empat emas selepas kejayaan Mohamad Aniq Kasdan dalam kategori 60kg lelaki, Muhamad Aznil Bidin (65kg) dan Muhammad Erry Hidayat (79kg).

ATLET lompat jauh para negara Gotuoh Eljoe bersama pingat gangsa yang dimenanginya pada acara lompat jauh lelaki kategori T20 di temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Stadium Scotstoun hari ini. Foto BERNAMA

Di gelanggang boling padang, Izzat Shameer mencipta sejarah sebagai atlet Malaysia pertama memenangi pingat acara singles lelaki pada Sukan Komanwel selepas tewas kepada pemain berpengalaman England Sam Tolchard pada final di Scottish Event Campus (SEC).

Pasangan Aleena-Syafiqa pula menyumbang perak pertama kem boling padang negara selepas tewas kepada gandingan England Amy Pharaoh-Sian Honnor dalam aksi penentuan emas acara pairs wanita.

Syafiqa, yang sedang hamil lima bulan, menyifatkan pingat berkenaan sebagai hadiah paling bermakna buat dirinya dan anak pertama yang dikandungnya.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi gimnas artistik Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam yang hampir menamatkan penantian 20 tahun Malaysia untuk meraih pingat Sukan Komanwel dalam sukan itu.

Sharul Aimy menamatkan final melombol lelaki di tempat keempat selepas mencatat mata keseluruhan sama dengan pemenang gangsa Neofytos Kyriakou dari Cyprus, tetapi terlepas podium menerusi penentuan tie-break berdasarkan markah pelaksanaan.

Dalam saingan awal boling padang, pemain nombor satu dunia Emma Firyana Saroji dan gandingan lelaki negara turut memulakan kempen masing-masing dengan kemenangan.

Malaysia kini mengumpul lima emas, dua perak dan tiga gangsa dengan dua lagi gangsa masing-masing disumbangkan jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin dalam kategori lightweight lelaki dan atlet angkat berat wanita Irene Jane Henry dalam kategori 48kg.

Kejayaan hari ini menyaksikan Malaysia melonjak ke tangga keenam dalam carta pungutan pingat sementara Australia kekal menerajui dengan 35 emas, 18 perak dan 27 gangsa, diikuti Kanada kedua (13,10,12) dan England ketiga (10,18,15).

  • Bernama