TATAU: Sebanyak RM662,300 diagihkan kepada 34 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kelab, badan bukan kerajaan (NGO), dan 16 penerima bantuan pendidikan di kawasan Selangau.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta mengingatkan agar dana yang diterima digunakan secara telus dan berkesan, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk.
“Setiap JKKK, PBIG dan NGO perlu memastikan dana ini digunakan sebaik mungkin untuk manfaat masyarakat.
“Saya akan turun padang untuk memantau pelaksanaan projek,” katanya pada majlis penyerahan MRP dan bantuan pendidikan di Pejabat Daerah Tatau di sini, hari ini.
Menurutnya, peruntukan MRP akan terus diagihkan secara berperingkat bagi memastikan semua kawasan, termasuk lebih 800 rumah panjang di Selangau, mendapat manfaat.
“Bantuan seumpama ini akan diagihkan secara berperingkat, jadi bagi yang belum menerima bantuan diminta bersabar,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Edwin juga mengingatkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Tuai Rumah untuk lebih aktif menghadiri program kerajaan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai dasar-dasar kerajaan.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa pendidikan adalah keutamaan, dengan lebih RM100,000 telah disalurkan tahun lalu kepada pelajar dari Selangau yang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan limau mandarin kepada komuniti Cina di Pekan Tatau sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Oleh Carolyne Utih