PASUKAN Todak Berjaya milik NHK Legacy dijulang sebagai ‘Raja Sungai Krian’ apabila mengungguli saingan akhir acara Bidar 30 Pekayuh Lelaki pada Regata Krian 2024 yang berlangsung sengit di Tebingan Sungai Krian Saratok, petang semalam.
Ternyata kayuhan bertenaga pasukan Today Berjaya yang menggunakan plat bernombor 12 itu menjadi tumpuan sekitar 3,000 pengunjung yang hadir sebaik sahaja dilepaskan dari garisan permulaan.
Ia ditentang hebat oleh pasukan adiknya, Todak Berjaya (plat bernombor 11) pada kedudukan kedua dan tempat ketiga pasukan Pancar Buraq Sakti ft PBG (plat bernombor 60) milik Melanie Bolhassan.
Bagaimanapun, perahu Todak Berjaya gabungan pengayuh dari Saratok, Tuie, Mukah dan Ladong itu terus meluncur laju menuju ke garisan penamat sekali gus mengesahkan kejuaraan kedua tahun berturut-turut itu menjadi milik mereka.
Kejayaan itu membolehkan pasukan Todak Berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000, piala kejuaraan dan sebuah trofi.
Pasukan adiknya, Todak Berjaya (plat 11) yang terpaksa akur di tempat kedua sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM9,000, dan piala, manakala pasukan Pancar Buraq Sakti ft PBG membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dan piala ditempat ketiga.
Untuk keputusan acara lain, bagi Bidar 25 dimenangi oleh pasukan Todak Berjaya, tempat kedua dan ketiga masing-masinya dimenangi oleh pasukan Putera Todak dan Pancar Buraq Sakti.
Untuk Bidar 20, Pancar Buraq Sakti ft PBG muncul sebagai juara, tempat kedua dimenangi oleh pasukan Todak Berjaya dan tempat ketiga dimenangi pasukan Putera Todak.
Bagi acara akhir Bidar 15 pula, pasukan Todak Berjaya muncul juara, tempat kedua pasukan Lanun Dinara Cut dan tempat ketiga Puteri Seri Bunut Dip, dan acara akhir Bidar 10 telah dimenangi oleh pasukan Todak Berjaya, tempat kedua pasukan Todak Berjaya dan tempat ketiga Lanun Dinara Cut.
Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik dan ADUN Kalaka, Mohamad Duri.
Regata Krian 2024 yang bermula pada Jumaat lalu telah disertai sebanyak 19 pasukan.
Oleh ADI SAFARMAN