Dana pembangunan Sabah, Sarawak perlu dikekalkan atau dinaikkan – Mustapha Sakmud

Facebook
WhatsApp
DATUK Mustapha Sakmud ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan ICQS Serikin, hari ini.

BAU: Dana pembangunan untuk Sabah dan Sarawak perlu dikekalkan atau ditingkatkan dalam Belanjawan akan datang bagi membolehkan pelbagai keperluan infrastruktur asas di kedua-dua negeri terus diberi perhatian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, masih banyak keperluan pembangunan yang perlu ditangani di Borneo, termasuk kemudahan asas untuk agensi keselamatan.

“Saya mewakili suara rakyat Borneo ini, kami memohon supaya dana pembangunan ini kekal atau dinaikkan.

“Sebab memang banyak lagi sekolah-sekolah daif. Tadi pun saya melawat beberapa pejabat polis, pondok polis kita,” katanya selepas mengadakan lawatan ke beberapa lokasi berkaitan keselamatan dan projek sempadan di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau sendiri terkejut selepas melihat sebuah pondok polis di Sematan yang masih menggunakan struktur kayu dan telah berusia sekitar 69 tahun.

“Saya terkejut di Sematan, masih ada pejabat pondok polis yang kayu, yang berumur 69 tahun.

“Bayangkan, sudah 69 tahun. Jadi maknanya banyak lagi isu infrastruktur asas di kedua-dua negeri ini perlu dipertimbangkan dan perlu diberi keutamaan,” katanya.

Mustapha berkata, Sabah dan Sarawak sebelum ini menerima antara peruntukan pembangunan yang agak tinggi dan beliau berharap tahap peruntukan berkenaan dapat dikekalkan atau ditambah.

Katanya, keperluan meningkatkan kemudahan asas turut berkait rapat dengan usaha memperkukuh keselamatan serta pembangunan di kawasan sempadan.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas kerjasama yang diberikan dalam melancarkan pelaksanaan projek berkaitan sempadan.

Menurutnya, kemudahan jalan raya dan utiliti seperti elektrik, air serta telekomunikasi merupakan antara perkara yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan projek pembangunan di kawasan sempadan dapat beroperasi sepenuhnya.

Beliau berkata, usaha memperkukuh infrastruktur di Sabah dan Sarawak penting bagi memastikan kemudahan kerajaan, termasuk agensi keselamatan, dapat berfungsi dengan lebih berkesan.

Oleh Shahrul Qaizat