SHAH ALAM: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang bertujuan melahirkan Generasi Penamat atau Generational End Game (GEG), dilihat sebagai usaha tepat kerajaan ‘mendepani masa’ dalam menamatkan tingkah laku berisiko dan memberi perlindungan kepada generasi baharu daripada produk tembakau.
RUU yang dibentangkan di Parlimen pada 27 Julai lepas oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, akan membabitkan golongan individu lahir selepas 1 Januari 2007 dan dijangka berkuat kuasa pada 2025 jika diluluskan.
GEG adalah tindakan denormalisasi terhadap pendedahan produk tembakau kepada generasi yang lahir selepas Januari 2007 dan perlindungan terhadap generasi tersebut akan berlanjutan hingga generasi seterusnya.
Presiden Persatuan Promosi Kesihatan Malaysia Dr K. Manimaran berkata dianggarkan dua juta nyawa mampu diselamatkan daripada kematian disebabkan penyakit berkaitan aktiviti merokok dalam tempoh sehingga 2040 sekiranya RUU berkenaan diluluskan.
“Ini kerana remaja merupakan golongan yang mudah terdedah dengan tingkah laku merokok dan ini disokong berdasarkan hasil tinjauan pada 2017 yang mendapati 13.8 peratus remaja berusia 13 hingga 17 tahun adalah perokok,” katanya dalam kenyataan semalam.
Justeru, beliau berkata terdapat kebarangkalian untuk negara terus mengalami peningkatan bilangan perokok baharu saban tahun dengan peningkatan prevalens ini disumbang oleh kanak-kanak dan remaja, sekiranya RUU yang dicadangkan oleh KKM itu tidak dilaksanakan.
Dr Manimaran berkata, rakyat Malaysia perlu menyokong dan memandang berat perkara tersebut kerana Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 1986, 1996, 2015 dan 2019 menunjukkan penurunan peratusan merokok adalah tidak signifikan dan amat merisaukan, dengan kini dianggarkan lima juta orang berumur 15 tahun dan ke atas merokok.
“Kajian juga mendapati merokok menjadi punca utama kematian pramatang dan membunuh lebih lapan juta orang setahun di seluruh dunia, manakala di Malaysia dianggarkan 20,000 kematian akibat merokok berlaku setiap tahun,” katanya. – Bernama