Fuad sumbang emas buat Sarawak temasya Para SUKMA 

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Jaguh powerlifting Sarawak, Mohamad Fuad Alen mencipta sensasi pada penampilan sulungnya dalam temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 apabila mengungguli kategori tidak melebihi 54 kilogram (kg) lelaki, di sini, hari ini.

Pada aksi di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan itu, Fuad, 43, mendominasi saingan selepas melakukan angkatan terbaik bermula dengan 90kg, 95kg diikuti 100kg tanpa digugat empat peserta lain.

“Ini merupakan penyertaan pertama kali saya selepas tidak dapat sertai Para SUKMA Johor yang ditangguh berikutan pandemik (COVID-19). 

“Alhamdulillah setelah dua tahun berlatih inilah hasilnya dan saya tidak sangka dapat membawa pulang pingat emas ini.

“Selepas ini saya berazam untuk mempertahankan pingat emas ini pada Para SUKMA akan datang jika ada rezeki,” kata atlet berasal dari Kuching itu.

Muhammad Akmal Danish Mohd Supi mewakili Perak meraih pingat perak dengan angkatan terbaik 85kg manakala Rafli Suhaili dari Wilayah Persekutuan Labuan membawa pulang gangsa dengan catatan 76kg. – BERNAMA

Pemenang acara powerlifting kategori lelaki tidak melebihi 54kg Para SUKMA 2022, Mohamad Fuad Alen dari Sarawak (tengah); pemenang perak, Muhammad Akmal Danish Mohd Sup dari Perak (kiri) dan gangsa, Rafli Suhaili dari Labuan meraikan kejayaan di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kg Pandan, Kuala Lumpur, hari ini.