
HELSINKI: Finland telah secara rasmi menamatkan perkhidmatan rangkaian telefon talian tetap analog selepas hampir 150 tahun beroperasi, sekali gus menjadi antara negara terbaharu beralih sepenuhnya kepada infrastruktur digital.
Estonia, Belanda, Norway dan Sepanyol sebelum ini telah menamatkan penggunaan rangkaian analog apabila semakin banyak negara di seluruh dunia beralih kepada rangkaian gentian optik yang mampu menyokong perkhidmatan internet serta panggilan suara.
Rangkaian telefon talian tetap Finland mula beroperasi pada era 1880-an, namun seperti di kebanyakan negara lain, perkembangan teknologi digital secara beransur-ansur menggantikan sistem lama yang berasaskan kabel tembaga.
Negara Nordik yang juga terkenal sebagai tanah kelahiran syarikat telefon mudah alih Nokia itu menyaksikan penggunaan telefon talian tetap semakin merosot berikutan dominasi teknologi telefon mudah alih.
Elisa, pengendali telekomunikasi utama terakhir di Finland yang masih mengendalikan rangkaian talian tetap berasaskan kabel tembaga, menandakan penamatan perkhidmatan itu menerusi panggilan terakhir antara Ketua Pegawai Eksekutifnya, Topi Manner, dan Ketua Agensi Komunikasi serta Pengangkutan Finland, Jarkko Saarimaki.
Dalam panggilan berkenaan, kedua-duanya berkongsi kenangan menggunakan telefon talian tetap. Manner mengimbau zaman remajanya di London pada era 1980-an apabila beliau menghubungi keluarganya di Finland sekali seminggu pada waktu yang dipersetujui bagi memastikan semua ahli keluarga berada di rumah.
Mereka turut berbincang mengenai masa depan teknologi komunikasi mudah alih sebelum menamatkan panggilan dengan ungkapan “kuulemiin”, yang membawa maksud “berjumpa lagi” atau “bercakap lagi nanti” dalam bahasa Finland.
Ketika mengumumkan penamatan rangkaian itu pada Januari lalu, Elisa memaklumkan hanya tinggal “beberapa ribu” pelanggan yang masih melanggan perkhidmatan telefon talian tetap, selain tiada lagi langganan baharu ditawarkan sejak beberapa tahun lalu.
Selepas penamatan perkhidmatan itu pada Selasa, hanya beberapa pengendali telekomunikasi tempatan masih menawarkan perkhidmatan telefon talian tetap di Finland, melibatkan beberapa ribu talian bagi panggilan tempatan, menurut penyiar awam negara itu, Yle.- AFP