ISTANBUL: FIFA pada lewat semalam menegaskan bahawa badan itu tidak akan menyokong atau bertolak ansur dengan sebarang usaha mengadakan pemilihan presiden yang bercanggah dengan statut organisasi, ketika perbezaan pendirian terhadap kepimpinan Gianni Infantino semakin ketara menjelang usahanya mendapatkan penggal keempat, lapor Anadolu Ajansi.
“FIFA tidak akan menyokong, memudahkan atau bertolak ansur dengan sebarang proses berkaitan pemilihan Presiden FIFA yang tidak selaras dengan Statut FIFA, prosedur demokratik dan kerangka tadbir urus yang ditetapkan,” menurut FIFA dalam satu kenyataan.
Badan induk bola sepak dunia itu berkata Infantino “dipilih secara demokratik oleh Anggota FIFA” dan terus menjalankan tugas berdasarkan mandat yang diberikan.
FIFA berkata kenyataan itu selaras dengan pendirian terbaharu Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) dan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), selain hasil perbincangan dengan persatuan anggota dan konfederasi FIFA di seluruh dunia.
Menurut FIFA, terdapat “usaha terancang dan berterusan oleh pihak tertentu untuk melemahkan FIFA dan Presidennya”, sambil menuduh individu yang tidak dinamakan cuba mencapai menerusi dakwaan, sindiran atau maklumat palsu sesuatu yang gagal mereka capai melalui proses demokratik organisasi itu.
“Laporan baru-baru ini mengandungi dakwaan yang tidak disokong bukti serta kenyataan yang terbukti palsu mengenai FIFA dan Presidennya.
“Spekulasi dan sindiran tidak seharusnya dikemukakan sebagai fakta, dan pengulangan sesuatu dakwaan tidak menjadikannya benar,” menurut FIFA.
FIFA turut mempertahankan rekod Infantino dengan menyatakan bahawa beliau telah menumpukan lebih 30 tahun kepada bola sepak Eropah dan dunia serta menyumbang kepada peluasan akses, sumber dan peluang dalam sukan itu.
“FIFA mengalu-alukan penelitian yang sah.
“Namun, penelitian bukan lesen untuk memutarbelitkan fakta, memperbesarkan dakwaan yang tidak berasas atau mencipta gangguan yang bertujuan menjejaskan kemajuan.
“FIFA bertanggungjawab kepada 211 persatuan anggotanya dan kepada bola sepak di seluruh dunia.
“Kami tidak akan terganggu atau dialihkan daripada usaha memperkukuh organisasi, memberikan manfaat kepada persatuan anggota dan meneruskan usaha menjadikan bola sepak benar-benar bersifat global,” menurut FIFA. – Bernama




