SEREMBAN, 20 November: Kuching City FC meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Super 2026/2027 selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 pada aksi perlawanan ketujuh di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, hari ini.
Kemenangan di tempat lawan itu menyaksikan skuad The Cats mengutip tiga mata berharga untuk mengumpul 15 mata selepas tujuh perlawanan, sekali gus terus berada di kedudukan ketiga liga.
Sebelum perlawanan, Kuching City berada di tangga ketiga dengan 12 mata hasil empat kemenangan daripada enam perlawanan, manakala Negeri Sembilan berada di kelompok bawahan liga.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak , membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Safawi Rashid yang mudah menyudahkan hantaran ‘cut-back’ daripada Declan Lambert untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan.
Kuching City kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-37 menerusi tandukan James Okwuosa hasil hantaran lintang Ryan Lambert yang terlebih dahulu terkena tiang sebelum menerjah gawang Negeri Sembilan.
Memasuki babak kedua, Kuching City terus mengasak tuan rumah, malah sempat meraikan jaringan menerusi Etame hasil hantaran lintang Dylan Wenzel-Halls, namun gol itu dibatalkan kerana kedudukan ofsaid.
Peluang terbaik tuan rumah untuk menghidupkan semula perlawanan hadir pada minit ke-78 apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati berlaku insiden bola terkena tangan Ariff Farhan di dalam kotak penalti Kuching City.
Bagaimanapun, penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli muncul wira apabila berjaya menafikan sepakan penalti Akhyar Rashid pada minit ke-81, yang cuba meletakkan bola ke penjuru kanan bawah gawang.
Kegagalan Negeri Sembilan memanfaatkan peluang itu menyaksikan Kuching City terus mempertahankan kelebihan dua gol sehingga wisel penamat dibunyikan , sekali gus membolehkan Kuching City membawa pulang tiga mata penuh dari Paroi.




