FIFA buka kes tatatertib terhadap Argentina susulan insiden di Piala Dunia

Facebook
WhatsApp

ANKARA: FIFA membuka prosiding tatatertib terhadap Persatuan Bola Sepak Argentina berhubung sepanduk mengenai Kepulauan Falkland yang dipamerkan pemain serta beberapa insiden lain sepanjang Piala Dunia 2026, lapor Anadolu Ajansi.

Pemain Argentina memegang sepanduk bertulis “Las Malvinas son Argentinas” yang bermaksud “Kepulauan Falkland milik Argentina” ketika meraikan kemenangan separuh akhir ke atas England di Atlanta.

Kepulauan itu ditadbir Britain, namun dituntut oleh Argentina.

Dalam kenyataan rasmi, FIFA secara umum merujuk kepada “mesej yang tidak wajar” serta kemungkinan pelanggaran peraturan yang melarang acara sukan digunakan bagi demonstrasi bersifat bukan sukan.

Persatuan itu turut disiasat berhubung laungan dan isyarat berunsur diskriminasi, kelewatan sepak mula, kegagalan mematuhi protokol perlawanan dan keselamatan serta perbuatan penyokong membaling objek.

Dalam perkembangan berasingan, Leandro Paredes, Nahuel Molina dan pegawai Argentina Roberto Ayala berdepan kemungkinan pertuduhan menyerang susulan insiden selepas perlawanan akhir menentang Sepanyol.

Molina, Thiago Almada dan pemain Sepanyol Gavi turut disiasat atas dakwaan berkelakuan yang bertentangan dengan semangat kesukanan.

FIFA memaklumkan semua pihak terbabit akan diberi peluang memberikan penjelasan sebelum Jawatankuasa Tatatertibnya membuat keputusan. – Bernama-Anadolu