PETRA JAYA: Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) akan mengadakan Festival Maal Hijrah 1446H/2024M di pekarangan Masjid Jamek Negeri Sarawak pada 12 hingga 14 Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, festival ini sebagai platform untuk menyemarakkan sambutan Tahun Baru Hijrah dengan pelbagai jenis aktiviti kemasyarakatan.
“Festival ini juga sebagai medium untuk menyampaikan ilmu serta meningkatkan kefahaman di kalangan masyarakat berkenaan Tahun Baru Hijrah.
“Selain itu, ia sebagai platform untuk mengimarahkan masjid serta menjadikan institusi masjid sabagai pusat riadah dan mempromosikan gaya hidup sihat berlandaskan nilai-nilai agama melalui pengisian program yang bercirikan kerohanian, kekeluargaan, sukan dan sebagainya.
“Antara golongan sasar berdasarkan klasifikasi program serta aktiviti yang telah disusun ialah golongan belia, kanak-kanak, wanita, peminat sukan dan masyarakat umum termasuk yang bukan beragama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media festival berkenaan di Galeri LAKMNS, Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka hadir bagi merasmikan festival ini.
Festival kali ini turut mengadakan Jualan Rahmah pada 13 Julai dan 14 Julai dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Selain itu, antara aktiviti-aktiviti yang bakal berlangsung adalah Malam Cinta Rasul, Kembara Berbasikal, Larian Hijrah, Pameran Kerjaya dan Pendidikan, dan pelbagai jenis pertandingan seperti badminton, tenpin boling, e-sukan dan sebagainya.
LAKMNS turut menyediakan beberapa hadiah istimewa kepada pengunjung menerusi cabutan bertuah.
Orang ramai yang berminat untuk mendaftar mana-mana aktiviti boleh melayari portal rasmi festival tersebut iaitu fmhlakmns.com.
Oleh Mohd Neenatul Aizal