KUCHING, 4 Oktober: Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditahan di sebuah pusat hiburan di Tabuan Tranquility, Jalan Canna, di sini kerana dipercayai beroperasi tanpa lesen hiburan yang sah.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata lelaki berkenaan ditahan kira-kira 3.00 pagi, 2 Oktober lalu.
“Polis turut merampas peralatan muzik dari premis berkenaan untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000 kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Pihak polis akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis hiburan mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Dinasihatkan semua pengusaha premis hiburan di daerah Kuching supaya mendapatkan lesen hiburan yang sah dan tidak menjalankan aktiviti melebihi masa operasi yang ditetapkan,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah




