MIRI: Penjagaan kesihatan mental diberi penekanan menerusi Program Jangkauan Kem Kesihatan anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bandaraya Miri (KKBM) di sini semalam.
Program bertemakan ‘Bulan Kesihatan Mental Sedunia – Minda Lebih Kuat, Komuniti Lebih Sihat’ itu turut menyediakan pelbagai perkhidmatan saringan dan khidmat nasihat kesihatan secara percuma kepada masyarakat.
Penganjuran program berkenaan mengetengahkan kepentingan penjagaan kesihatan secara menyeluruh meliputi aspek fizikal, mental, emosi dan sosial.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin.
Antara perkhidmatan yang disediakan ialah pemeriksaan tekanan darah dan paras gula dalam darah, rundingan bersama doktor dan pakar dietetik, pemeriksaan pergigian, saringan kesihatan mental serta kaunter pendaftaran skim kesihatan.
Saringan kesihatan mental turut diberi penekanan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesejahteraan diri serta menggalakkan masyarakat mendapatkan bantuan lebih awal apabila diperlukan.
Pendekatan itu menyokong usaha menjadikan penjagaan kesihatan mental sebagai sebahagian daripada amalan penjagaan kesihatan harian.
Program turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna, ceramah kesihatan, pameran dan reruai maklumat kesihatan.
Pelbagai aktiviti berkenaan memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi dengan petugas kesihatan serta mendapatkan maklumat yang dapat membantu mereka membuat pilihan lebih baik demi kesihatan diri dan keluarga.
Pejabat Kesihatan Bahagian Miri menerusi satu kenyataan media hari berharap program berkenaan dapat menggalakkan masyarakat menjalani saringan kesihatan secara berkala, mengenal pasti masalah kesihatan pada peringkat awal dan mendapatkan rawatan yang bersesuaian.
“Kerjasama antara klinik, panel penasihat dan komuniti juga diharap dapat terus memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan serta membina masyarakat Miri yang lebih sihat dan sejahtera,” katanya.
Turut hadir Pegawai Kesihatan Bahagian Miri, Dr P. Raviwharmman A/L Packierisamy; Pengerusi Panel Penasihat KKBM, Jeffery Phang Siaw Foong; serta Timbalan Pengerusi Panel Penasihat KKBM, Dr Maurice Steve Utap.
Oleh Liong Chai Ling




