KUCHING, 3 OKT: Wartawan perlu lebih berhati-hati dalam menyiarkan berita berkaitan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R), khususnya sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN), bagi mengelakkan laporan yang boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak, Kadir Dikoh, berkata laporan berkaitan PRN seharusnya memberi tumpuan kepada perkembangan yang memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mengeksploitasi isu sensitif semata-mata untuk menarik perhatian pembaca.
Malah katanya, amalan pemberitaan seumpama itu juga perlu diteruskan tidak kira semasa pilihan raya atau tidak.

Beliau berkata, wartawan perlu menilai kandungan sesuatu kenyataan sebelum menjadikannya sebagai bahan berita, selain memastikan konteks serta fakta berkaitan diperiksa terlebih dahulu.
Menurutnya, laporan yang menyentuh isu sensitif perlu dikendalikan secara bertanggungjawab memandangkan Sarawak mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Cerita positif mengenai PRN, tiada isu yang mencetuskan ketegangan. Kita boleh laporkan apa-apa kepentingan rakyat di negeri ini, ketengahkan kepentingan dan pembangunan,” katanya ketika menyampaikan taklimat pada Bengkel Penulisan Berita Utusan Sarawak, di Hotel Samudra , hari ini.
Bengkel itu bertujuan memantapkan lagi liputan penulis berita menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Kadir berkata, pendekatan menghasilkan berita yang memberi manfaat kepada masyarakat perlu diberi keutamaan, terutama ketika suasana politik menjadi tumpuan dan pelbagai kenyataan mudah mendapat perhatian orang ramai.
Beliau berkata, wartawan perlu mengelakkan penyiaran kandungan yang bersifat menghasut atau provokatif, terutama apabila ia melibatkan isu yang mempunyai kaitan dengan agama, kaum dan institusi diraja.
Katanya, setiap bahan yang diterima perlu diteliti dari segi latar belakang, konteks dan kepentingannya kepada masyarakat sebelum diputuskan untuk diterbitkan sebagai berita.
Menurutnya, wartawan juga perlu mengambil kira latar belakang masyarakat yang pelbagai ketika membuat liputan bagi memastikan laporan yang dihasilkan tidak menimbulkan salah faham atau menjejaskan keharmonian antara masyarakat.
Kadir berkata, liputan PRN tidak seharusnya hanya tertumpu kepada persaingan politik, sebaliknya wartawan boleh mengetengahkan perkara yang menyentuh kepentingan rakyat, pembangunan serta usaha yang memberi kesan positif kepada masyarakat.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan media terus memainkan peranan sebagai sumber maklumat yang bertanggungjawab, khususnya ketika masyarakat berdepan dengan lambakan maklumat sepanjang tempoh pilihan raya.
Oleh Shahrul Qaizat




