PETRA JAYA, 28 Nov: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.07 Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), disahkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Rudzaimeir Malek, pada 10.12 pagi ini di pusat penamaan calon Dewan Serbaguna Taman Sukma, di sini.
Sharifah Hasidah tiba di pusat penamaan calon pada 8.30 pagi sebelum meneliti borang pencalonannya pada 9.03 pagi dan menyerahkannya kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9.07 pagi.

Borang pencalonannya dikemukakan, Sulhie Salleh sebagai pencadang dan Patong Medin sebagai penyokong.
Sharifah Hasidah pertama kali memenangi kerusi Samariang pada 2006 dan berjaya mempertahankannya dalam empat pilihan raya negeri berikutnya, termasuk PRN13 yang menyaksikan beliau menang tanpa bertanding.
Kemenangan itu membolehkan beliau meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat Samariang untuk penggal kelima berturut-turut sejak pertama kali dipilih hampir dua dekad lalu.
Pada PRN 2021, beliau memperoleh 11,354 undi dengan majoriti 10,283 undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Oleh Shikin Mahmud




