Hujan tidak halang kemeriahan penamaan calon di Dalat

Facebook
WhatsApp
SUASANA di pagi penamaan calon bersama penyokong GPS.

DALAT, 28 Nov: Hujan yang membasahi pekan Dalat sejak kira-kira 4.00 pagi tidak mematahkan semangat masyarakat setempat untuk hadir menyaksikan suasana hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, hari ini.

Meskipun hujan lebat, suasana di sekitar Tebingan Air Dalat tetap meriah dengan kehadiran ratusan penduduk yang berhimpun bagi menyambut dan mengiringi calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fatimah Abdullah, berarak menuju ke pusat penamaan calon.

Kehadiran masyarakat daripada pelbagai lapisan itu memperlihatkan keterujaan penduduk setempat untuk merasai sendiri bahang demokrasi yang mewarnai hari penamaan calon, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat.

Pelbagai kerenah dan celoteh penyokong turut menceriakan suasana, dengan masing-masing memperlihatkan semangat berkobar-kobar sambil mengenakan pakaian seragam parti.

Oleh Adibfahmy