SELANGAU: Fasa pertama projek Lebuh Raya Pan Borneo dari Sematan ke Miri, yang dijangka suku pertama tahun depan, sejak dimulakan pada 2015 yang bernilai RM16.117 bilion meliputi 11 pakej kerja.
Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof berkata setakat ini lebuh raya tanpa tol itu sudah 89 peratus siap untuk baki 10 pakej kerja.
“Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ini masih belum siap sepenuhnya dan masih dalam pembinaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bagi seksyen Pakej Kerja Kontrak 8 (WPC8) Selangau di sini hari ini.
Mengenai Seksyen Selangau, katanya, sepanjang 27 kilometer ini adalah salah satu daripada dua seksyen di bawah WPC8, Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip.
“Dengan menaiktaraf jalan sedia ada dari satu lorong dua hala kepada dua lorong dua hala, ini akan membantu memudahkan aliran trafik antara Sibu ke Bintulu.
“Selain itu penduduk di sepanjang jajaran iaitu Bandar Sibu, Selangau, Mukah dan Balingian turut mendapat faedah infrastruktur jalan raya yang lebih baik, selesa dan selamat hasil daripada pembinaan jalan ini.
“Projek ini yang bermula pada 1 November 2016 dan dibuka sepenuhnya hari ini,”katanya.
Fadillah berkata, kos keseluruhan bagi seksyen Selangau itu adalah berjumlah RM588 juta yang dilaksanakan sepenuhnya oleh kontraktor dan perunding tempatan.
“Saya mohon maaf di atas ketidakselesaan pengguna jalan raya sewaktu proses pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ini berlangsung dan mengharapkan kesabaran dan kerjasama semua sehingga keseluruhan projek ini disiapkan.
“Malah kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa berusaha melaksanakan pelan mitigasi dan tindakan susulan bagi menambah baik kaedah pelaksanaan lebuh raya ini agar dapat disiapkan pada tempoh yang telah ditetapkan,” katanya.
Beberapa jajaran yang telah siap dan sedia untuk digunakan oleh orang ramai antaranya adalah:
- Pakej Telok Melano ke Sematan yang telah siap sepenuhnya pada 6 Januari 2019;
- Seksyen Jambatan Batang Rajang dan Seksyen Julau bagi Pakej Kerja 07;
- Persimpangan Bintangor ke Persimpangan Julau telah siap pada 9 Oktober 2021 dan 28 Oktober 2021;
- Seksyen Serian bagi Pakej Kerja 03, Bulatan Serian ke Balai Ringin telah siap pada 4 Disember 2021;
- Seksyen Persimpangan Bertingkat Nyabau bagi Pakej Kerja 10, Simpang Nyabau ke Sungai Tangap telah siap pada 26 Januari 2022;
- Seksyen Pujut bagi Pakej Kerja 11, Sungai Tangap ke Jalan Pujut Link yang telah dibuka untuk pengguna jalan raya pada 2 Julai 2022; dan
- Persimpangan bertingkat Sri Aman bagi Pakej 04, Persimpangan Pantu ke Batang Skrang yang telah dibuka untuk pengguna jalan raya pada 4 September 2022.
Oleh AZREEN KERIA