SUNGAI ASAP: Cadangan menyediakan enam lokasi lorong memotong di Jalan Bintulu-Bakun merupakan antara perancangan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi menangani pergerakan trafik yang semakin meningkat di laluan berkenaan.
Menterinya Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan itu telah dimasukkan dalam perancangan kementerian untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan akan datang.
Menurutnya, kemudahan berkenaan dijangka memberi ruang kepada kenderaan untuk memotong dengan lebih selamat, terutama apabila berdepan kenderaan berat yang bergerak perlahan di laluan berbukit.

“Sekarang sudah dirancang enam lokasi lorong memotong, enam lokasi dari Bintulu ke sini dan enam lokasi dari sini ke Bintulu,” katanya ketika berucap pada Program Menteri Kerja Raya Bersama Masyarakat Rumah Bakah di Uma Baha Apau Koyan di sini, hari ini.
Nanta berkata, keperluan berkenaan timbul susulan keadaan jalan yang sempit dan jumlah kenderaan berat yang semakin bertambah di sepanjang laluan Bintulu-Bakun.
Menurut beliau, keadaan itu boleh menyebabkan perjalanan menjadi perlahan apabila kenderaan bergerak secara beriringan, khususnya di kawasan berbukit.
Beliau berkata, KKR telah membuat perancangan awal berhubung lokasi yang sesuai bagi pembinaan lorong memotong tersebut.
“Projek ini sudah kita angkat sebagai salah satu keutamaan di Kementerian Kerja Raya dan kita berharap mendapat kelulusan dalam Belanjawan akan datang,” katanya.
Nanta turut berharap kerajaan Sarawak memberikan sokongan terhadap perancangan berkenaan bagi mengukuhkan permohonan yang dikemukakan di peringkat Persekutuan.
Katanya, kerjasama kedua-dua kerajaan penting dalam memastikan perancangan pembangunan infrastruktur jalan raya mengambil kira keperluan pengguna dan kawasan yang terlibat.
Beliau berkata, cadangan enam lokasi lorong memotong itu masih tertakluk kepada proses kelulusan peruntukan sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.
Ujar Nanta, KKR akan terus meneliti keperluan penambahbaikan Jalan Bintulu-Bakun secara berperingkat bagi memastikan laluan itu lebih lancar dan selamat digunakan.
Oleh Carolyne Utih




