
KOTA SAMARAHAN: Fadriel Nuzul Mahriez Mahathir muncul sebagai johan pada Pertandingan Bintang Cilik sempena penganjuran Program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile 2025 di Pentas Utama pekarangan parkir lot Pasaraya Aiman, hari ini.
Fadriel yang mendendangkan lagu berjudul ‘Seni Berzaman’ yang dipopularkan oleh Toki berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan piala.
Sementara itu, Muhd Rafiq Rizqi Kadar yang mendendangkan lagu bertajuk ‘Baizura’ yang dipopularkan oleh Lela mincul naib johan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM200 dan piala.
Manakala Haziq Rizqin Hasnizam yang mendendangkan lagu berjudul ‘Untukmu Ibu’ yang dipopularkan oleh kumpulan Exist ditempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100 dan piala.
Dalam pada itu, tiga peserta telah menerima hadiah saguhati wang tunai berjumlah RM50 dan pingat.
Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah RISDA Sarawak, Ahmad Azmirul Azhar Ahmad Zaini.
Seramai sembilan orang peserta dari sekitar Kota Samarahan dan Kuching telah menyertai pertandingan tersebut.
Terdahulu, penganjuran Program PKD Mobile yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah berlangsung selama dua hari bermula semalam.
Antara aktiviti yang dianjurkan iaitu kaunter perkhidmatan agensi kerajaan dan swasta, pameran dan jualan produk usahawan desa, sesi taklimat dan bengkel pembangunan komuniti, aktiviti riadah dan hiburan untuk seisi keluarga.
Selain itu, latihan kemahiran, persembahan artis, Bintang Cilik, karaoke terbuka, sukaneka desa, jualan Rahmah, pertandingan mewarna, Kuiz Interaktif Kahoot! dan cabutan bertuah.
Oleh Adi Safarman