KUCHING: “Alhamdulillah, terima kasih pengundi P.194 Petra Jaya kerana memberi mandat dan kemenangan yang besar kepada saya,” kata Dato Sri Fadillah Yusof.
“Saya akan melakukan yang terbaik demi kesejahteraan di negeri ini.
“Undi anda semua adalah amanah yang perlu saya pikul dengan rasa penuh tanggungjawab,”katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penantian keputusan PRU-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam ini.
Katanya, beliau akan melakukan yang terbaik demi Sarawakku Sayang.
“Terima kasih juga kepada rakyat Sarawak kerana telah memberi kepercayaan dan mandat besar kepada GPS,” katanya.
Untuk rekod, Fadillah memenangi kerusi Parlimen Petra Jaya dengan majoriti 41,363 undi.
Beliau meraih 54,745 undi, menewas calon Pakatan Harapan (PH) Sopian Julaihi, 13,382 undi dan Presiden Parti Kesedaran Sarawak (SEDAR), Othman Abdillah, 1,036 undi.
Dengan kemenangan itu, Fadillah berjaya mempertahankan kerusi yang disandangnya itu sejak 2004.