F1 kembali peluang keemasan bangunkan semula ekosistem sukan permotoran negara

Facebook
WhatsApp
Bekas pelumba Formula 1, Alex Yoong, berkata ekosistem sukan permotoran empat roda Malaysia tidak dapat berkembang secara bermakna tanpa akses lebih kerap dan konsisten ke litar perlumbaan. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kembalinya perlumbaan Formula 1 (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) memberi peluang keemasan kepada Malaysia untuk membina semula ekosistem sukan permotoran negara, kata bekas pelumba F1 negara Alex Yoong.

Beliau berkata, kepulangan F1 ke Malaysia akan lebih bermakna sekiranya ia mampu meninggalkan legasi berkekalan melangkaui penganjuran satu perlumbaan sahaja, termasuk merangsang pelaburan dalam pembangunan bakat akar umbi, melahirkan lebih ramai pelumba berpotensi serta memperkukuh laluan penyertaan ke peringkat tertinggi sukan permotoran dunia.

Menurutnya, penganjuran F1 perlu disokong dengan justifikasi komersial yang kukuh serta visi jangka panjang yang jelas mengenai manfaat yang boleh diberikan kepada Malaysia, bukan hanya sepanjang tempoh hujung minggu perlumbaan.

“Jika dilaksanakan dengan perancangan yang betul, kejohanan ini mampu memberi manfaat besar termasuk merancakkan sektor pelancongan, membuka peluang perniagaan dan meningkatkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini.

Yoong mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama menyertai Formula Satu apabila beraksi bersama pasukan Minardi pada 2001.

BEKAS pelumba Formula 1, Alex Yoong. Foto BERNAMA

Beliau menyertai 18 perlumbaan Grand Prix (GP) dari 2001 hingga 2002 dan sehingga kini kekal sebagai satu-satunya pelumba Malaysia yang pernah bersaing dalam F1, kategori tertinggi perlumbaan kereta dunia.

Beliau kini antara tokoh paling dikenali dalam sukan permotoran negara dan terus menyumbang kepada pembangunan industri itu menerusi peranannya sebagai pengulas perlumbaan serta mentor pelumba muda.

“Sebagai seseorang yang pernah berlumba dalam F1 dan menghabiskan sebahagian besar kerjaya membangunkan sukan permotoran di Malaysia serta rantau ini, saya amat gembira melihat sebuah litar dari Asia Tenggara kembali dalam kalendar perlumbaan paling berprestij dunia,” katanya.

Legasi penting untuk generasi pelumba baharu

Walaupun F1 merupakan kemuncak dunia sukan permotoran, Yoong berkata pembangunan bakat secara berterusan perlu menjadi fokus utama sekiranya Malaysia mahu memanfaatkan sepenuhnya kepulangan kejohanan itu.

Beliau berharap kembalinya F1 dapat menghidupkan semula sokongan terhadap keseluruhan ekosistem sukan permotoran tempatan, daripada perlumbaan simulasi (sim racing), karting sehingga kejohanan profesional.

“Harapan saya ialah ia dapat mencetuskan semula sokongan kepada keseluruhan rantaian sukan permotoran tempatan supaya lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai peluang untuk berkembang ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Perlumbaan simulasi atau sim racing merujuk kepada permainan perlumbaan yang menggunakan perkakasan dan perisian realistik bagi meniru pengalaman memandu kereta lumba sebenar, termasuk faktor penggunaan bahan api, kerosakan kenderaan dan kehausan tayar.

SIC bersedia cabar generasi baharu pelumba F1

Pada Ahad, F1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah Grand Prix Formula Satu Gulf Air Bahrain di SIC dari 2 hingga 4 Oktober, yang dijadual berlangsung di antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura dalam kalendar F1.

Perlumbaan itu mencatat sejarah sebagai kemunculan semula F1 di Malaysia selepas Grand Prix Malaysia dihentikan selepas musim 2017.

Walaupun sebahagian besar pelumba dalam grid F1 ketika ini belum pernah beraksi di SIC, Yoong yakin mereka akan menikmati cabaran yang ditawarkan litar berkenaan.

Daripada 22 pelumba dalam grid semasa, hanya enam pernah beraksi di SIC iaitu Lewis Hamilton, Fernando Alonso, Max Verstappen, Sergio Pérez, Carlos Sainz Jr. dan Pierre Gasly.

Menurut Yoong, reka bentuk moden SIC dengan susun atur litar yang mencabar serta peluang memotong yang menarik menjadikan litar itu antara lokasi yang mampu memberikan pengalaman berbeza kepada pelumba.

“Para pelumba pasti akan menikmatinya. Seluruh komuniti F1 sentiasa gemar datang ke Malaysia untuk Grand Prix,” katanya.

Yoong membuat penampilan terakhirnya dalam F1 pada Grand Prix Jepun di Suzuka pada Oktober 2002 sebelum meneruskan kerjaya dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.

Antara pencapaiannya termasuk kemenangan bersama A1 Team Malaysia, penyertaan dalam perlumbaan 24 Hours of Le Mans, serta muncul juara Audi R8 LMS Cup selama tiga musim berturut-turut.

Kini, beliau aktif membangunkan generasi baharu pelumba sebagai ketua jurulatih dan mentor Program Pembangunan Bakat Muda Toyota Gazoo Racing Malaysia, selain membimbing pasukan e-Racing kebangsaan serta pelumba muda termasuk anaknya, Alister. – Bernama