BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) meluluskan garis panduan yang mengesyorkan kepada negara anggotanya membuka semula pintu sempadan untuk 14 buah negara, termasuk Korea Selatan.
Majlis Eropah yang mewakili 27 negara anggota menerima pakai syor itu pada Selasa (waktu Belgium) dan akan berkuat kuasa Rabu, lapor agensi berita Yonhap.
Setiap negara anggota akan dimaklumkan mengenai perkembangan terkini termasuk sejauh mana kelonggaran diberikan, bila dan bagaimana ia dilaksanakan, termasuk tempoh kuarantin kendiri. Senarai negara itu akan dikemas kini setiap dua minggu.
Selain Korea Selatan, negara Algeria, Australia, Georgia, Montenegro, Kanada, Jepun, Maghribi, New Zealand, Rwanda, Serbia, Thailand, Tunisia dan Uruguay turut termasuk dalam senarai itu.
Amerika Syarikat dikecualikan, manakala China diberi kelulusan sementara kerana EU memutuskan akan membenarkan perjalanan jika Beijing mengambil langkah yang sama terhadap pelancong EU.
Sejak pertengahan Mac, EU melarang kemasukan pengunjung yang bukan anggota blok itu, namun, pengecualian diberikan untuk perjalanan penting.
Sementara itu, seorang pegawai kementerian luar di Seoul berkata garis panduan untuk setiap negara mungkin berbeza bergantung kepada situasi Covid-19 di negara masing-masing dan faktor-faktor lain- Bernama