KUCHING: Rakyat Sarawak perlu meneliti bukan sahaja platform politik yang diketengahkan parti-parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), tetapi juga janji yang dibuat sebelum ini serta sejauh mana ia telah dilaksanakan, kata Ahli Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Eric Tay.
Beliau berkata, prinsip akauntabiliti perlu terpakai kepada semua parti politik, termasuk parti yang mahu diberi kuasa lebih besar untuk melaksanakan fungsi semak dan imbang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
“Jika sesebuah parti politik hari ini meminta rakyat memberikannya kuasa lebih besar untuk melakukan pemantauan, bukankah rakyat juga berhak terlebih dahulu meneliti janji-janji terdahulu parti itu dan bertanya sejauh mana ia telah diperjuangkan serta dicapai selepas memperoleh pengaruh politik sebenar?” katanya.
Tay berkata, kenyataannya bukan bertujuan menyerang mana-mana parti politik, sebaliknya menekankan prinsip asas akauntabiliti dalam sistem demokrasi.
Beliau merujuk kepada beberapa janji (Parti Tindakan Demokratik) DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, termasuk komitmen mendapatkan 50 peratus hasil cukai yang dikutip di Sarawak serta royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus atau nilai yang setara.
Katanya, antara komitmen lain ialah memberikan autonomi lebih besar kepada Sarawak dalam bidang pendidikan, kesihatan, kewangan serta minyak dan gas.
“Sudah lapan tahun berlalu. Rakyat sememangnya berhak bertanya sama ada perkongsian 50 peratus hasil cukai telah dilaksanakan dan sama ada hak 20 peratus minyak dan gas telah dicapai mengikut janji tersebut atau melalui nilai yang setara,” katanya.
Tay berkata, perbincangan mengenai isu politik perlu berasaskan fakta dan perkembangan sebenar, bukannya menggambarkan seolah-olah tiada sebarang pencapaian yang telah berlaku.
Beliau mengakui kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mencapai kemajuan dalam beberapa isu, termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak minyak dan gas serta Petros, yang menurutnya wajar diiktiraf.
Bagaimanapun, beliau berkata, janji berkaitan hak 20 peratus minyak dan gas yang dibuat Pakatan Harapan pada 2018 kemudiannya tertakluk kepada tafsiran berbeza di peringkat Persekutuan, khususnya berkaitan kaedah pengiraannya.
“Rakyat bukan sekadar mahu mendengar slogan politik. Mereka mahukan jawapan yang jelas,” katanya.
Tay turut menekankan kedudukan DAP yang berbeza di peringkat negeri dan Persekutuan, dengan parti itu berperanan sebagai pembangkang dalam DUN Sarawak, manakala di peringkat Persekutuan menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan.
Katanya, keadaan itu memberi ruang kepada rakyat untuk menilai prestasi DAP di kedua-dua peringkat.
“DAP memainkan peranan sebagai pembangkang dalam DUN Sarawak dan menekankan keperluan untuk semak dan imbang yang lebih kukuh.
“Prinsip akauntabiliti perlu dikenakan sama rata terhadap kerajaan Sarawak, kerajaan Persekutuan dan parti pembangkang,” katanya.
Menurut Tay, akauntabiliti bukan sekadar laporan pencapaian yang boleh diserahkan kepada pihak lain, sebaliknya merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul dan dinilai secara terbuka.
“Akauntabiliti bukan laporan pencapaian yang boleh diserahkan kepada orang lain. Ia adalah cermin yang kita sendiri mesti sanggup lihat,” katanya.
Beliau berkata, menjelang PRN, pengundi bukan sahaja perlu membandingkan platform politik parti-parti yang bertanding, tetapi turut menilai rekod pencapaian serta rancangan masa depan masing-masing.
Katanya, rakyat perlu menilai parti atau calon yang mampu menunaikan janji, bersedia bertanggungjawab terhadap komitmen terdahulu, menawarkan penyelesaian praktikal serta sanggup menerima penelitian.
“Demokrasi bukan bermaksud meminta rakyat mempercayai mana-mana parti politik secara membuta tuli. Demokrasi memberi ruang kepada rakyat untuk membandingkan, mempersoal dan meneliti sebelum membuat pertimbangan sendiri,” katanya.
Oleh Connie Chieng





