KUCHING: Sebanyak enam rumah teres satu tingkat di Lorong Sim Kheng Hong 2, Kenyalang Park, di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.58 malam sebelum pasukan pertama tiba di lokasi empat minit kemudian.
Katanya, operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 12.13 tengah malam.
“Kebakaran merebak dengan pantas kerana tiada dinding pengasing antara rumah-rumah tersebut.
“Rumah bernombor 1323 mengalami kemusnahan sebanyak 30 peratus dengan tiga penghuni iaitu seorang lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa, dan seorang bayi.
“Rumah bernombor 1324 pula musnah 70 peratus dan didiami dua lelaki dewasa. Rumah bernombor 1325 musnah sepenuhnya dengan seorang penghuni lelaki dewasa.
“Rumah bernombor 1326 musnah sebanyak 80 peratus dengan dua penghuni perempuan dewasa. Rumah bernombor 1327 pula terbakar 60 peratus dan didiami enam penghuni, termasuk dua lelaki warga emas, dua perempuan warga emas, dan dua perempuan dewasa.
“Rumah terakhir, bernombor 1328, mengalami kerosakan lima peratus dan tiada penghuni,” menurut kenyataan itu lagi.
Beliau turut memaklumkan bahawa tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.