SUKOHARJO: Empat beranak ditemui maut dengan mayat mereka sudah membusuk di sebuah rumah di Sukoharjo, Jawa Tengah, semalam.
Mayat Suranto, 35, ditemui bersama tiga mayat lain iaitu isterinya serta dua anak mereka, lapor AFP.
Menurut Ketua Perkampungan Duwet Suparno, penduduk tempatan pada awalnya curiga selepas ahli keluarga itu tidak keluar rumah sejak Selasa lalu dengan pintu serta tingkap rumah yang ditutup rapat.
“Mereka tambah curiga apabila menghidu bau busuk dari arah rumah itu, semalam.
“Penduduk kemudian pergi ke rumah itu sekitar 9.00 malam dan mengintai dari tingkap. Mereka terkejut ada empat orang terbaring di ruang tamu dalam keadaan anggota badan yang sudah kembung dengan dipenuhi darah kering,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Sukoharjo AKBP Bambang Yugo Pamungkas hari ini mengesahkan, penemuan empat individu yang sudah meninggal dunia dan polis masih menjalankan siasatan.
Kesemua mayat dibawa ke hospital untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.-AFP