KUCHING: Festival Kebudayaan Cheongsam edisi ketiga di sini esok akan memanifestasikan kepelbagaian menerusi keindahan budaya cheongsam yang unik di Sarawak.
Bakal berlangsung di dua lokasi ikonik iaitu Kuching Park dan Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), festival kali ini akan menampilkan sorotan penting iaitu penggabungan budaya batik tempatan di negeri ini.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata para peserta berpeluang menggabungkan elemen batik tempatan ke dalam cheongsam sekali gus mempamerkan keharmonian dan gabungan budaya dengan cara tersendiri.
“Objektif utama festival ini adalah untuk mengukuhkan integrasi dan perpaduan pelbagai etnik di Sarawak, menggalakkan lebih ramai wanita memperagakan diri di atas pentas, mempromosikan budaya cheongsam dan menyebarkan keindahan dari Timur.
”Melalui acara seperti ini, kami mencipta platform untuk meraikan kepelbagaian sambil memupuk persefahaman, penjagaan dan sokongan bersama yang lebih mendalam dalam kalangan komuniti yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Festival Kebudayaan Cheongsam di Pejabat MBKS, di sini, semalam.
Menjelas lanjut, katanya festival yang dianjurkan oleh Persatuan Wanita Cina Sarawak dengan kerjasama MBKS dan disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu akan bermula 8 pagi di Kuching Park.
”Bagi perarakan sempena festival tersebut yang akan diadakan di Kuching Park, ia akan bermula seawal 7 pagi dan setakat ini seramai kira-kira 500 hingga 600 orang telah mendaftar untuk menyertainya.
”Pendaftaran masih dibuka dan kita mengalu-alukan lebih ramai untuk menyertainya bagi mempamerkan kecantikan mereka menggayakan cheongsam pada hari itu,” ujarnya.
Dalam pertandingan itu, 12 finalis wanita akan berentap dalam dua kategori iaitu individu (untuk wanita berumur 22 hingga 80 tahun) dan juga kategori berkumpulan yang terdiri daripada tiga hingga enam orang setiap kumpulan.
Bagi kedua-dua kategori, johan akan menerima RM1,800, naib juara (RM1,500) manakala tempat ketiga akan membawa pulang RM1,200 beserta selempang dan sejambak bunga.
Sementara itu, hadiah saguhati juga akan diberikan dalam kedua-dua kategori.
Oleh RYNNA SHA’ERRA