LINGGA: Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh menyarankan masyarakat untuk terus mengekalkan perpaduan yang telah lama terjalin di kawasan tersebut.
Beliau berkata kesatuan dan perpaduan dalam masyarakat adalah kunci kepada kejayaan khususnya dalam pembangunan di kawasan Sri Aman.
“Masyarakat di sini perlu memberi kepercayaan kepada pemimpin untuk merancang dan melaksana pelbagai projek pembangunan serta tidak membandingkan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dengan bahagian-bahagian lain.
“Ini kerana pihaknya memiliki perancangan tersendiri dengan kekuatan sedia ada dan mengikut keperluan pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jiwa MADANI Sembang Santai bersama Komuniti di Kampung Pangkat, Stumbin dekat sini, hari ini.
Sementara itu, Mahra yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu SADA turut memaklumkan jawatankuasa itu telah meluluskan peruntukan bagi menjalankan kajian di kawasan jelapang padi di Bahagian Sri Aman iaitu ‘Greater Together: Pemetaan ekosistem pengeluaran padi di kawasan Jelapang Padi Batang Lupar, Sri Aman.
“Ia akan meliputi sebanyak enam kawasan iaitu Stumbin, Tanjung Bijat, Gran, Entulang, Seduku serta Lingga-Banting, dan pastinya masyarakat tempatan akan mendapat manfaat daripadanya kelak,” tambahnya.
Dalam pada itu, Mahra juga terbuka untuk menerima apa-apa cadangan dan input daripada mana-mana pihak bagi perancangan dalam Bahagian Sri Aman.
Oleh itu, ujarnya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) boleh membuat perancangan pembangunan mengikut keperluan dan memohon kepada kerajaan mengikut prosedur.
Oleh Adi Safarman