SPAOH: Seekor buaya tembaga liar sepanjang sekitar 2.1 meter yang mengejutkan penduduk Kampung Medang selepas ditemui terperangkap pada jaring sebuah kolam ikan telah diserahkan kepada Perbadanan Perhutanan (SFC) untuk tindakan lanjut, hari ini.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh, reptilia berkenaan sebelum itu berjaya ditangkap oleh anggota APM selepas dikesan tersangkut pada jaring di kolam ikan milik seorang penduduk kampung, semalam.
Kehadiran sang bedal berkenaan pada jaring kolam terbabit mencetuskan kebimbangan pemilik kolam yang terkejut dengan kemunculan haiwan liar berkenaan di kawasan berkenaan.
Tindakan pantas APM dilakukan bagi memastikan reptilia terbabit dapat dikawal dengan selamat sekali gus mengelakkan risiko kejadian tidak diingini terhadap penduduk sekitar.
Selepas berjaya ditangkap, buaya berkenaan ditempatkan dalam keadaan selamat sebelum proses penyerahan kepada pihak SFC dilaksanakan untuk tindakan seterusnya.
Proses penyerahan dan dokumentasi berhubung reptilia terbabit disempurnakan dengan lancar di Pejabat Unit Pertahanan Awam Spaoh pada pagi tadi.
Kerjasama antara APM dan SFC itu memperlihatkan tindakan bersepadu agensi berkaitan dalam menangani kejadian konflik antara manusia dan hidupan liar.
Langkah berkenaan bukan sahaja penting bagi memastikan keselamatan komuniti setempat, malah membantu memastikan haiwan liar yang ditangkap dikendalikan mengikut prosedur serta dipelihara dengan sewajarnya.
APM turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan haiwan liar, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa atau agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan.
Sebarang kecemasan boleh dilaporkan kepada APM Daerah Spaoh di talian 083-473006 atau talian kecemasan 999.
Oleh Adi Safarman





