Tujuh dekad bersama, air mata Tun M iringi perjalanan akhir Siti Hasmah

Facebook
WhatsApp
TUN Dr Mahathir Mohamad kelihatan sebak ketika berada di sisi pusara isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, di Pusara Negara, Putrajaya, hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Selepas tujuh dekad melayari kehidupan bersama, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berdepan detik paling sukar apabila terpaksa mengiringi pemergian isteri tersayang, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir, yang menggunakan kerusi roda elektrik dan mengenakan tiub oksigen, tetap setia mengiringi perjalanan terakhir insan yang menjadi pendamping hidupnya selama tujuh dekad ke tempat persemadian abadi bersama dengan anak-anak serta ahli keluarga terdekat.

Suasana pilu mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham, bermula dari kediaman keluarga ketika penghormatan terakhir dan solat jenazah di masjid hinggalah ke Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya.

TUN Dr Mahathir Mohamad hadir pada majlis pengebumian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, hari ini. Foto Bernama

Berwajah sugul, bekas Perdana Menteri itu dilihat termenung seketika sambil memandang jenazah Dr Siti Hasmah ketika memberikan penghormatan terakhir di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah di sini.

Beliau turut menyertai solat jenazah bersama dengan ribuan jemaah yang memenuhi ruang masjid.

Sejurus tiba di Pusara Negara, Dr Mahathir terus mengiringi jenazah isterinya ke kawasan perkuburan bersama dengan anak-anak dan ahli keluarga terdekat sebelum Allahyarham disemadikan.

Dari kerusi roda elektriknya, beliau menyaksikan upacara pengebumian Dr Siti Hasmah yang berlangsung dalam suasana hening dengan anak-anak serta ahli keluarga berada di sisinya.

Kesedihan jelas terpancar di wajah Dr Mahathir ketika beliau dilihat menitiskan air mata ketika berada di sisi pusara isterinya, dalam detik penuh hiba saat mengucapkan salam perpisahan dan menatap buat kali terakhir wajah insan yang selama ini setia berada di sisinya.

Bagi rakyat Malaysia, Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah bukan sekadar pasangan bekas Perdana Menteri dan isteri malah kemesraan yang sering diperlihatkan secara spontan di khalayak menjadikan mereka cukup dekat di hati masyarakat.

Dalam pelbagai acara rasmi mahupun ketika tampil dalam suasana santai, Dr Siti Hasmah hampir tidak pernah jauh dari sisi suaminya, menjadi pendamping dan antara tonggak penting di belakang perjalanan panjang Dr Mahathir dalam kehidupan serta arena politik negara.

Sifat bersahaja mereka menerusi gurauan, usikan dan interaksi mesra juga sering mencuri perhatian sekali gus memperlihatkan sisi peribadi dua figura yang menghabiskan sebahagian besar kehidupan bersama.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan tahun ini, bahtera perkahwinan pasangan ini mencecah 70 tahun.

Sepanjang tujuh dekad bersama, Dr Siti Hasmah bukan sahaja menjadi isteri dan ibu kepada tujuh anak mereka malah beliau setia berada di sisi Dr Mahathir menempuh pelbagai fasa kehidupan serta perjalanan panjang kerjaya politik suaminya.

Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara pagi tadi pada usia 100 tahun. – Bernama