Eksklusif: Elak kesalahan kecil, hormati semua calon – Abdullah Saidol

Facebook
WhatsApp
DATUK Abdullah Saidol.

BINTANGOR, 31 Oktober: Kesalahan kecil yang dilakukan berulang kali sepanjang proses pilihan raya boleh mengundang bantahan daripada calon lain, sekali gus perlu diberikan perhatian serius oleh jentera parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, pemahaman terhadap peraturan dan undang-undang pilihan raya amat penting bagi memastikan keseluruhan proses, bermula daripada penamaan calon hingga hari pengundian, berjalan lancar.

“Tujuan taklimat SPR ini adalah untuk mengingatkan kembali beberapa peraturan pilihan raya yang harus dimaklumkan kepada semua wakil PBB Meradong tentang perjalanan proses pilihan raya ini nanti.

“Sebab kita tidak mahu berlaku yang mana kesalahan-kesalahan kecil, bila dilakukan terlalu kerap, akan menyebabkan bantahan daripada calon-calon lain,” katanya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS).

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual secara eksklusif oleh Utusan Sarawak di pekarangan Dewan Lama Pejabat Daerah Meradong, selepas menghadiri sesi Taklimat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Meradong, hari ini.

Katanya, taklimat penyegaran tersebut penting memandangkan pilihan raya diadakan dalam tempoh lima tahun, manakala barisan kepimpinan dan jawatankuasa parti di peringkat cawangan turut mengalami perubahan.

Menurut beliau, sebahagian anggota parti, khususnya golongan pemuda dan belia, mungkin masih kurang arif mengenai peraturan serta undang-undang yang perlu dipatuhi sepanjang proses pilihan raya.

Abdullah menjelaskan, antara perkara yang diberikan perhatian termasuklah peraturan berkaitan pemasangan bahan kempen, tempat menggantung bendera, penerbitan poster dan keperluan mendapatkan permit daripada pihak berkuasa.

“Contohnya tentang tempat menggantung bendera, jika mereka membuat poster, pastikan poster itu ada dicetak nama penerbit dan sebagainya.

“Ada perkara lain tentang waktu berkempen, permit dan sebagainya harus mengikut arahan daripada pihak polis, majlis daerah, pejabat daerah dan juga ejen SPR,” katanya.

Dalam pada itu, Abdullah turut mengingatkan jentera parti supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan media sosial, terutama apabila berkongsi gambar atau kenyataan yang boleh menimbulkan spekulasi serta salah faham terhadap calon bertanding.

Tambahnya, tindakan yang pada asalnya bertujuan mempromosikan seseorang calon juga boleh menimbulkan masalah sekiranya kandungan yang disebarkan melanggar peraturan pilihan raya.

“Ada juga kesalahan ini boleh diperbetulkan serta-merta setelah ditegur oleh ejen.

“Ada juga kesalahan yang mungkin boleh dibawa ke mahkamah,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Abdullah menegaskan bahawa semua pihak perlu mengamalkan pendekatan berkempen secara berhemah, menjaga adab dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencemarkan perjalanan pilihan raya.

“Kita juga harus menghormati semua calon bertanding, tak kira siapa lawan siapa, tidak harus ada konfrontasi, provokasi yang tidak diperlukan.

“Kita mahu proses pilihan raya ini dengan penuh adab. Isu-isu perkauman haruslah dielak, fitnah yang melampau haruslah dielak,” katanya.

Beliau turut berharap semua pihak dapat kembali menjalinkan hubungan baik selepas pilihan raya selesai, tanpa mengira perbezaan sokongan politik sepanjang tempoh berkempen.

Oleh Earl Anek