Eksklusif: Demi sesuap rezeki, Harmas tetap cekal di tengah jerebu

Facebook
WhatsApp
SENYUMAN… Harmas tetap melayani pelanggan dengan senyuman meskipun jerebu menyelubungi Kuching.

PETRA JAYA: Jauh dari kampung halaman di Sambas, Indonesia, Harmas tetap cekal mencari rezeki di Kuching sejak 2019, biarpun terpaksa berdepan keadaan jerebu yang melanda bandar raya ini.

Bekerja dengan seorang majikan yang menjual jagung bakar sus dan air kelapa di tepi jalan kawasan Jalan FAC, rutin Harmas bermula seawal 8.00 pagi sehingga 6.00 petang setiap hari.

Ketika ditemui wartawan Utusan Sarawak yang singgah membeli jagung bakar susu dan air kelapa, Harmas sempat berkongsi sedikit kisah kehidupannya sebagai seorang perantau yang sudah bertahun-tahun mencari rezeki di Kuching.

Dalam suasana jerebu yang menyelubungi Kuching ketika itu, Harmas tetap kelihatan tenang dan cekal menjalankan tugasnya.

Wajahnya juga tidak lekang dengan senyuman ketika melayani pelanggan yang datang membeli jualannya, seolah-olah penat dan keadaan sekeliling tidak mematahkan semangatnya untuk terus bekerja.

Bagi Harmas, setiap pelanggan yang singgah membawa makna tersendiri kerana daripada jualan itulah dia meneruskan kehidupan di bumi asing yang kini sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya.

Enam tahun berada di Kuching, pekerjaan menjual jagung bakar susu dan air kelapa mungkin kelihatan biasa bagi sesetengah orang.

Namun, di sebalik senyumannya, tersimpan kisah seorang insan yang meninggalkan tanah kelahiran demi mencari rezeki.

Di saat ramai memilih berlindung daripada jerebu, Harmas tetap berdiri di tepi jalan, melayani pelanggan dengan senyuman dan terus bekerja demi sesuap rezeki.

Oleh Shikin Mahmud