PETRA JAYA: Sarawak kini dalam usaha memperkukuhkan ekonomi berteraskan air serta memberi tumpuan kepada pengurusan air yang mampan dan penggunaan teknologi terkini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengurusan sumber air yang bijaksana adalah kunci kepada pembangunan negeri, khususnya dalam memastikan bekalan air bersih kepada seluruh rakyat termasuk di kawasan luar bandar.
“Pengurusan air yang efisien boleh membuka peluang kepada pembangunan sumber tenaga hidroelektrik yang lebih besar.
“Air ada dua iaitu ‘air terawat’ dan ‘air kumbahan’. Di tempat lain mungkin mereka menghadapi masalah dengan air, tetapi kita ada air, cuma kadang-kadang kita boros dengan penggunaannya.
“Sebab itu, dari aspek pengurusan, kita hendak mengenal pasti beberapa teknologi terkini. Salah satunya, air itu boleh kita gunakan untuk makan dan minum. Jika bekalan air ini besar, sudah tentu ia juga boleh membekalkan hidroelektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Air dan Air Buangan Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menekankan pentingnya kitar semula air kumbahan sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan sumber air.
“Air kumbahan yang dirawat boleh digunakan semula untuk pelbagai keperluan, termasuk dalam sektor pertanian dan industri, menjadikan ekonomi air sebagai kitaran yang mampan,” katanya.
Beliau turut menyatakan minat terhadap teknologi terbaru yang dapat membersihkan air buangan dan menggunakan sisa yang terkumpul seperti mikrosom, sebagai penyimpan karbon serta baja untuk memperkayakan tanah.
“Ini bermakna kita dapat menjadikan air buangan sebagai komoditi ekonomi yang penting, bukan sahaja untuk pertanian sebagai untuk menyimpan karbon, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya.
Oleh Nur Ain Otsman