KABONG, 28 Nov: Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Kabong, Nor-E-Fadzwie Salleh bertekad memikul amanah yang diberikan dengan penuh komitmen, keikhlasan dan tanggungjawab demi meneruskan agenda pembangunan di kawasan Kabong, Nyabor dan Roban.
Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan kepimpinan GPS untuk mewakili parti pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) merupakan satu tanggungjawab besar yang akan dilaksanakan dengan penuh rasa rendah hati.
Menurutnya, beliau turut berhasrat menyambung serta meneruskan perancangan pembangunan yang telah dirintis oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, saya diberikan kepercayaan dan dipilih sebagai calon GPS bagi kerusi DUN N.40 Kabong.
“Saya menerima amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh rasa syukur, rendah hati serta kesedaran bahawa ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan demi kepentingan masyarakat dan seluruh penduduk di kawasan N.40 Kabong,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kepimpinan tertinggi parti, kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), jentera GPS serta masyarakat Kabong atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan.
Nor-E-Fadzwie berkata, segala usaha dan perancangan pembangunan yang telah dilaksanakan sebelum ini akan dijadikan asas untuk membawa kawasan berkenaan terus maju.
“Saya bertekad untuk menyambung dan meneruskan perancangan serta usaha pembangunan yang telah dirintis oleh Dato Mohd Chee Kadir.
“Segala usaha yang telah dibuat akan dijadikan asas untuk kita terus bergerak ke hadapan demi kepentingan masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pembangunan tidak boleh digalas oleh seseorang pemimpin sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama erat semua pihak termasuk ketua masyarakat, golongan belia, wanita, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh penduduk.
Katanya, pintu beliau sentiasa terbuka untuk menerima pandangan, teguran serta cadangan masyarakat kerana suara dan keperluan rakyat perlu menjadi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan.
Beliau turut memohon sokongan dan kepercayaan daripada seluruh pengundi di kawasan Kabong, Nyabor dan Roban agar bersama-sama membina masa depan kawasan itu yang lebih maju dan sejahtera.
Terdahulu, sebelum proses penamaan calon pagi tadi, Nor-E-Fadzwie diiringi Dato Mohd Chee Kadir sebagai tanda sokongan terhadap pencalonannya mewakili GPS di kerusi berkenaan.
DUN N.40 Kabong menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nor-E-Fadzwie Salleh daripada GPS-PBB dengan Belitang Abeng daripada Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).
Pertandingan itu menyaksikan Nor-E-Fadzwie sebagai muka baharu yang bakal berdepan cabaran pertama dalam usaha mendapatkan mandat rakyat pada PRN13.
Beliau menyeru seluruh masyarakat agar bersama-sama memberikan sokongan dan doa bagi membolehkannya memikul amanah tersebut demi masa depan N.40 Kabong yang lebih baik.
“Bersama kita melangkah, bersama kita membangunkan N.40 Kabong,” katanya.
Oleh Adi Safarman




