KUCHING, 28 Nov: Komitmen kerja di London, United Kingdom, tidak menghalang calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Chang Yong Neng daripada menyertai persaingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.10 Padungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Chang, 32, seorang peguam yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya, tidak dapat hadir sendiri ke pusat penamaan calon di bangunan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pagi ini.
Sebaliknya, wakilnya, Yang Kai Jun menyempurnakan urusan penamaan calon bagi pihaknya dan memperoleh nombor calon satu.
Menurut wakilnya, perjalanan Chang ke London telah diatur lebih awal atas urusan kerja dan ketidakhadirannya bukan disebabkan keputusan pada saat akhir.
Chang pada awalnya dijadualkan bertanding di kerusi DUN Pending sebelum penempatannya sebagai calon ditukar ke Padungan.
Penyertaannya menyaksikan kerusi DUN N.10 Padungan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Wee Hong Seng, calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), Violet Yong dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Chang Yong Neng.
Wee memperoleh nombor calon ketiga, manakala Violet mendapat nombor dua.
Ketiga-tiga calon disahkan bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Sharpini Daud pada 10.00 pagi selepas kertas penamaan calon masing-masing diterima tanpa sebarang penolakan.
Oleh Connie Chieng




