PETRA JAYA, 12 Oktober: Sarawak dijangka mencatat lebihan bajet RM246 juta pada 2027 apabila hasil negeri diunjurkan berjumlah RM15.091 bilion, mengatasi perbelanjaan mengurus sebanyak RM14.845 bilion.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kedudukan itu mencerminkan pengurusan kewangan berhemat dalam memenuhi keperluan semasa sambil mengekalkan kestabilan fiskal untuk masa depan.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan cadangan Bajet Sarawak 2027 pada persidangan hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Menurut beliau, perbelanjaan mengurus yang dicadangkan berjumlah RM14.845 bilion merangkumi RM5.747 bilion bagi perbelanjaan operasi, manakala RM9.098 bilion diperuntukkan kepada Akaun Kumpulan Wang Pembangunan.
Daripada perbelanjaan operasi itu, RM1.421 bilion diperuntukkan bagi emolumen, RM2.024 bilion untuk bekalan dan perkhidmatan serta RM1.976 bilion bagi geran dan bayaran tetap.
Sebanyak RM134 juta pula diperuntukkan untuk perolehan aset, manakala RM192 juta bagi perbelanjaan mengurus lain.

Bagi perbelanjaan pembangunan, kerajaan negeri memperuntukkan RM10.098 bilion pada 2027, meningkat RM826 juta atau sembilan peratus berbanding anggaran asal perbelanjaan pembangunan tahun ini.
Selain itu, sebanyak RM300 juta akan disalurkan kepada Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak (SSWFF) bagi memelihara sebahagian hasil negeri untuk manfaat generasi akan datang.
Beliau berkata, kekuatan kewangan negeri membolehkan kerajaan terus melabur dalam pembangunan sambil memastikan kestabilan kewangan jangka panjang.
Cadangan bajet itu turut memberi tumpuan kepada pengukuhan daya tahan fiskal, pembaharuan struktur dan kepelbagaian sumber hasil bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sektor tradisional.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan terus mencari sumber pendapatan baharu bagi memastikan kedudukan kewangan negeri kekal mampan dan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat di seluruh Sarawak.
Oleh Afiq Sallehi





