PETRA JAYA: Sarawak disaran membangunkan syarikat e-hailing tempatan dan memperkenalkan sistem rel bagi meningkatkan aksesibiliti dan kecekapan pengangkutan awam.
Dato Ir. Lo Khere Chiang (GPS-Batu Kitang) berkata, ia penting kerana alternatif tersebut lebih mampu milik dan berkesan bagi penduduk setempat yang sukar menampung kos penggunaan Grab secara harian.
“Pada masa ini, Grab merupakan pilihan pengangkutan paling mudah bagi pelancong, namun kosnya tidak berpatutan untuk penduduk tempatan sebagai pengangkutan harian.
“Saya mencadangkan agar Sarawak membangunkan syarikat ride-hailing sendiri yang menawarkan perkhidmatan kenderaan komersial di kawasan perumahan, stesen Transit Aliran Automasi (ART), hospital, dan pusat beli-belah utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Belanjawan Sarawak 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan 56 bas merah jambu di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) pada 2025.
“Namun begitu, terdapat banyak jalan kecil tidak dapat diakses oleh bas besar,” katanya.
Lo turut mencadangkan supaya tambang disubsidi bagi memastikan ia mampu milik dan dapat mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.
Selain itu, beliau turut mencadangkan penggunaan aplikasi penjejakan masa nyata untuk bas, serupa dengan sistem Grab bagi meningkatkan keberkesanan dan kemudahan pengguna.
“Langkah ini bukan sahaja akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, tetapi juga menarik pelancong dan pelabur ke Sarawak.
“Saya mencadangkan agar kenderaan awam Sarawak dihiasi motif tempatan sebagai usaha untuk mempromosikan budaya negeri ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk menyusun rancangan induk pengangkutan yang lebih menyeluruh bagi Sarawak, termasuk pembinaan sistem rel.
Menurutnya, Sarawak yang terbesar di Malaysia dari segi keluasan, layak menerima lebih banyak pelaburan dalam infrastruktur pengangkutan seperti yang dinikmati di Semenanjung Malaysia.
“Berbilion-bilion ringgit telah dilaburkan untuk membangunkan sistem pengangkutan di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 50 tahun lepas, terutamanya menggunakan keuntungan dari sumber minyak dan gas dari Sabah dan Sarawak.
“Oleh itu, adalah wajar dan adil jika Kerajaan Persekutuan mengembalikan sebahagian daripada keuntungan ini untuk membangunkan sistem pengangkutan rel,” katanya.
Beliau berkata pembinaan sistem rel di Sarawak bukan sahaja akan memajukan pengangkutan awam tetapi juga meningkatkan taraf hidup penduduk negeri ini agar setanding dengan rakyat di Semenanjung.
Oleh Mohd Neenatul Aizal