PETRA JAYA: Sarawak terus ke hadapan dalam memperkukuhkan kuasa autonomi pengurusan alam sekitar dengan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, RUU ini bakal memberikan kawalan sepenuhnya kepada negeri dalam aspek pemuliharaan sumber asli, pengurusan alam sekitar dan pembangunan mampan.
Beliau menegaskan bahawa RUU baharu ini bertujuan menggantikan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar [Bab 84] (Edisi 1958), yang telah melalui beberapa pindaan sejak 1949 untuk memenuhi keperluan pengurusan sumber dan alam sekitar yang semakin kompleks.
“Sarawak telah berusaha mendapatkan autonomi yang lebih besar melalui reformasi perlembagaan sejak 2014, termasuk pengambilalihan bidang alam sekitar yang telah dimeterai dalam 13 perkara pemerkasaan pentadbiran pada 2016.
“RUU ini menyediakan asas undang-undang yang moden dan komprehensif untuk Sarawak mentadbir dan melindungi alam sekitar, sejajar dengan piawaian global dalam usaha mencapai pembangunan lestari,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar, 2024 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II menyatakan bahawa dengan pemindahan kawalan penuh terhadap alam sekitar dan pengurusan sumber, Sarawak berpeluang untuk menetapkan sasaran kualiti alam sekitar tersendiri demi melindungi flora, fauna, serta kesihatan manusia.
Katanya, RUU ini juga memberi Sarawak kuasa untuk menetapkan dan menguatkuasakan standard kualiti udara, air, dan tanah bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar yang lebih sihat, bersih dan selamat.
“Dengan kawalan penuh terhadap sumber asli dan alam sekitar, Sarawak dapat merancang projek pembangunan sosioekonomi secara mampan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“RUU ini hadir tepat pada waktunya, memastikan bahawa projek transformasi sosioekonomi dapat dilaksanakan dengan lebih lestari,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN