PETRA JAYA, 15 Oktober: Kerajaan Sarawak mencadangkan penambahan dua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di negeri ini kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk pertimbangan, susulan peningkatan kes tangkapan berkaitan penyalahgunaan dadah.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, Sarawak ketika ini hanya mempunyai sebuah PUSPEN di Kuching yang mampu menampung 300 klien pada satu-satu masa.

Menurutnya, jumlah tangkapan berkaitan penyalahgunaan dadah di Sarawak mencecah 8,965 setakat September 2026, sekali gus mendorong keperluan menyediakan lebih banyak kemudahan rawatan dan pemulihan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian berhubung keperluan kemudahan pemulihan dadah di Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19.
Razi berkata, antara cadangan yang dikemukakan ialah pembinaan PUSPEN di zon tengah Sarawak bagi menampung keperluan rawatan dan pemulihan klien dari Sibu, Mukah, Kapit, Sarikei dan Belaga.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata AADK Daerah Mukah mempunyai enam kakitangan bagi tahun semasa, terdiri daripada dua penolong pegawai antidadah gred 6 dan empat pembantu antidadah gred 2.
Bagaimanapun, katanya, seramai 103 klien sedang menjalani rawatan dan pemulihan dalam komuniti di bawah seliaan AADK Daerah Mukah setakat 30 September 2026.
Menurutnya, AADK Daerah Mukah telah diwartakan dengan perjawatan seramai 24 pegawai bermula tahun ini, merangkumi skim sosial dan pentadbiran, manakala pengisian jawatan akan dilaksanakan secara berperingkat oleh Kerajaan Persekutuan.
Beliau berharap pengisian jawatan berkenaan dapat dipercepatkan, termasuk penambahan kakitangan AADK di seluruh Sarawak, bagi memastikan pelaksanaan rawatan, pemulihan dan pemantauan klien berjalan lancar.
Oleh Afiq Sallehi





