PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak disarankan untuk meningkatkan had kelayakan bantuan kewangan bagi keluarga berpendapatan rendah dengan pendapatan per kapita tidak melebihi RM1,500 kepada RM1,700.
Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 berkuat kuasa 1 Februari 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini akan mempengaruhi had kelayakan sedia ada.
”Ia dikhuatiri akan menyebabkan status individu yang sepatutnya layak mendapat bantuan menjadi tidak layak.
“Bagi inisiatif bantuan wang saku dan komputer riba percuma, had kelayakan bantuan bagi individu daripada isi rumah dengan pendapatan per kapita tidak melebihi RM1,500 adalah tidak wajar memandangkan Kerajaan Persekutuan akan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 tahun depan.
“Hal ini mungkin menyebabkan berlakunya kes individu tidak layak untuk menerima bantuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (2024) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata Kerajaan Sarawak turut melaksanakan kadar gaji minimum RM1,700 kepada pekerja sektor swasta di Sarawak selaras dengan pengumuman Perdana Menteri.
Justeru, Ding menekankan bahawa had kelayakan tersebut dikaji semula dan diselaraskan supaya turut meliputi pelajar daripada golongan M40.
Dalam pada itu, Ding berharap kerajaan Sarawak memberi peruntukan tambahan bagi projek naik taraf Kompleks Sukan Bintangor yang turut meliputi kerja-kerja luaran.
Menurutnya, projek naik taraf padang bola dan balapan larian Kompleks Sukan Bintangor itu kini dalam peringkat reka bentuk.
”Kita berharap ia dapat ditender sebelum akhir tahun.
”Oleh itu, saya menggesa Kementerian Belia dan Sukan memperuntukkan dana tambahan untuk kerja-kerja yang dinyatakan supaya rakyat Meradong khususnya golongan belia dapat menggunakan kemudahan tersebut sepenuhnya,” tambahnya.
Oleh Rynna Sha’erra