PETRA JAYA, 12 Oktober: Sarawak memperuntukkan RM264 juta bagi persiapan penganjuran Sukan SEA 2027, merangkumi RM120 juta untuk pengurusan acara dan RM144 juta bagi menaik taraf 11 kemudahan sukan utama menjelang temasya serantau itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak akan menjadi tuan rumah bersama temasya Sukan SEA ke-34 pada 2027, dengan Kuching berperanan sebagai hab utama penganjuran.
“Bagi 2027, kerajaan negeri akan menyediakan RM120 juta sebagai peruntukan awal untuk pengurusan acara dan RM144 juta bagi menaik taraf 11 kemudahan sukan utama, yang semuanya disasarkan bersedia untuk pertandingan menjelang pertengahan 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Sarawak dijadualkan menganjurkan 18 daripada keseluruhan 38 jenis sukan yang dipertandingkan, dengan temasya itu dijangka menghimpunkan lebih 3,000 atlet, 1,700 petugas teknikal, 4,000 sukarelawan dan 5,500 pegawai.
Menurut beliau, pelaburan berkenaan bukan hanya bertujuan memastikan kelancaran penganjuran Sukan SEA, malah memperkukuh keupayaan Sarawak untuk menjadi tuan rumah kepada acara sukan antarabangsa pada masa hadapan.
“Penaiktarafan infrastruktur sukan utama ini akan memperkukuh keupayaan Sarawak untuk menganjurkan acara antarabangsa pada masa hadapan, termasuk Sukan Perpaduan Islam pada 2029,” katanya.

Sebanyak 11 kemudahan sukan utama dikenal pasti untuk dinaik taraf, termasuk Stadium Sarawak, Stadium Tertutup Sarawak, Arena Boling Padang, Pusat Latihan Wushu, Pusat Tenis Sarawak, Lapang Sasar Sarawak, Pusat Skuasy Sarawak, Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Pusat Memanah Sarawak dan Pusat Petanque Sarawak.
Selain persiapan Sukan SEA, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan sukan di peringkat akar umbi bagi memperluas penyertaan masyarakat serta mencungkil bakat baharu.
Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi Sukan Sarawak (SUKSAR) 2027, manakala RM1.2 juta disediakan untuk program Sarawak X-Tive 2027 yang menyasarkan penyertaan 120,000 orang.
Sebanyak RM21 juta lagi diperuntukkan bagi kemudahan sukan dan rekreasi di seluruh bahagian bagi membolehkan lebih ramai penduduk mengambil bahagian dalam aktiviti sukan, mengembangkan bakat serta mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.
Beliau berkata, usaha memperkukuh pembangunan sukan dari peringkat akar umbi itu penting bagi memastikan pelaburan terhadap infrastruktur dan penganjuran acara turut memberi manfaat kepada masyarakat dalam jangka panjang.
Dengan persiapan yang melibatkan pengurusan acara dan penaiktarafan kemudahan, tumpuan kini terarah kepada memastikan semua fasiliti yang dikenal pasti mencapai tahap kesediaan menjelang pertengahan 2027.
Oleh Shahrul Qaizat




