KUCHING: Sarawak merekodkan 670 jenayah komersial melibatkan golongan belia berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim berkata pengangguran adalah antara penyumbang kepada masalah sosial belia, terutamanya semasa pandemik Covid-19.
“Pandemik Covid-19 mengakibatkan seramai 4,037 orang di Sarawak kehilangan pekerjaan.
“Berdasarkan Laporan Kajian Tenaga Buruh 2021, terdapat 576,000 keseluruhan menganggur di Sarawak manakala pada suku ketiga 2022, kira-kira 429,000 rakyat Sarawak menganggur.
“Pengangguran dalam kalangan belia menimbulkan cabaran yang mendesak dan isu kesihatan mental,” kata ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Abdul Karim berkata pengangguran turut dikaitkan dengan peningkatan masalah kesihatan dan peningkatan penyalahgunaan dadah serta keinginan untuk menamatkan riwayat dalam kalangan belia.
“Kerajaan Sarawak amat prihatin terhadap penyalahgunaan dadah dan bahan yang semakin menular di kalangan belia.
“Berdasarkan statistik PDRM setakat suku ketiga 2022, terdapat 6,665 belia terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Justeru, Abdul Karim menggesa semua pihak untuk berusaha dalam memperkasa belia menangani masalah secara holistik.
Beliau berkata, kementeriannya bersama badan bukan kerajaan (NGO) akan meneruskan usaha bersepadu dalam mengurus dan mengurangkan masalah sosial yang melibatkan belia di Sarawak.
Oleh RYNNA SHA’ERRA