KOTA SAMARAHAN: Sarawak menyasarkan untuk merebut sebahagian daripada pasaran bio-produk global yang dianggarkan bernilai AS$4.3 trilion, dengan Taman Bioindustri Sarawak (SBP) menjadi antara pemangkin utama usaha berkenaan menjelang 2036.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, saiz pasaran global itu menunjukkan potensi besar yang boleh dimanfaatkan Sarawak menerusi kekayaan biodiversiti yang dimilikinya.
Menurutnya, berdasarkan laporan Fortune Business Insights, pasaran bio-produk global menunjukkan permintaan yang semakin tinggi, khususnya terhadap produk berasaskan kesihatan.
“Kalau kita dapat sedikit sahaja daripada pasaran AS$4.3 trilion itu, sudah cukup untuk memberi pulangan yang besar kepada Sarawak.
“Kita tidak perlu mendapatkan keseluruhannya, memadai sekadar mendapat sepotong kek (just slice of the pie),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pecah tanah Taman Bioindustri Sarawak (SBP) di Kota Samarahan, hari ini.
Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai kelebihan besar menerusi khazanah biodiversiti yang luas dan pelbagai, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk pembangunan industri bio-produk bernilai tinggi.
Katanya, penubuhan SBP bertujuan menyediakan ekosistem yang mampu menarik pelaburan swasta serta pemain industri antarabangsa untuk meneroka dan membangunkan potensi biodiversiti Sarawak secara komersial.
Menurutnya, pelabur yang memasuki ekosistem berkenaan boleh bekerjasama dengan Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC), yang mempunyai pelbagai hasil penyelidikan berkaitan sumber biodiversiti untuk dikomersialkan.
“Di SBC, kita mempunyai banyak hasil kajian dan produk biodiversiti yang boleh dikomersialkan dan didagangkan di pasaran.
“Apabila pelabur datang, mereka boleh bekerjasama dengan SBC untuk membawa hasil penyelidikan ini ke peringkat komersial,” katanya.
Abang Johari berkata, jumlah pendapatan yang mampu dijana Sarawak daripada industri bio-produk tidak dapat ditentukan pada ketika ini kerana ia bergantung kepada sejauh mana kemasukan pelabur dan skala pelaburan yang berjaya ditarik.
Namun, katanya, sekiranya Sarawak berjaya mendapatkan sebahagian kecil daripada pasaran global itu, ia sudah mampu memberikan pulangan ekonomi yang besar kepada negeri.
Beliau berkata, pembangunan industri bio-produk turut menjadi sebahagian daripada usaha Sarawak memanfaatkan kekayaan biodiversiti sebagai sumber ekonomi baharu yang berimpak tinggi.
Sasaran berkenaan dijangka dapat direalisasikan secara berperingkat sehingga 2036 menerusi pengukuhan penyelidikan, pembangunan produk, pengkomersialan dan kemasukan pelaburan ke dalam ekosistem bioindustri Sarawak.
Oleh Afiq Sallehi





